PRN Melaka: 'Rundingan BN Plus belum bermula, sabar sikit' - Ab Rauf

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 5:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: 'Rundingan BN Plus belum bermula, sabar sikit' - Ab Rauf
Ab Rauf (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.

MELAKA - Rundingan Barisan Nasional (BN) dengan mana-mana parti bagi membentuk kerjasama politik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum bermula.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, walaupun belum menetapkan tarikhnya namun beliau memberi jaminan perundingan berkenaan pasti akan diadakan dalam tempoh terdekat susulan pembubaran DUN telah bermula Rabu lalu.

Menurutnya, jangkaan mula perundingan adalah selepas beliau menerima panggilan daripada pejabat UMNO di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Padi dah masak, tempua bersarang rendah maksudnya pasti ada (perundingan). Tak usah minggu depan, mungkin esok, mungkin malam ini, saya tak tahu. Perundingan tetap dan pasti ada dalam tempoh inilah, jangan risau.

“Apabila ada perundingan, pasti ada keputusan. Yang nak memberitahu rakyat ialah pembesar-pembesar suara (media) di hadapan saya ini tapi setakat ini belum ada lagi, sabar sikit,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Melaka 2026 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Sementara itu, ditanya mengenai kedudukan 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN Melaka lalu, Ab Rauf berkata, jumlah itu menjadi asas dalam rundingan berkenaan.

“Itu asas perundingan kita. Maksudnya, itu hak kita, yang lain kita boleh berunding.

“Tapi disebabkan belum pernah ada perundingan, BN belum mengetahui harapan, hasrat atau cadangan parti lain kerana belum ada perbincangan di meja rundingan,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan tidak berminat untuk berunding dalam platform media sosial yang dilihat hanya akan memberikan pelbagai persepsi negatif.

“Jadi biar kita berunding betul-betul. Dapat kata sepakat, baru kita membawa berkat.

“Sebarang perkembangan mengenai rundingan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas perbincangan diadakan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved