MELAKA - Status Perikatan Nasional (PN) yang dikenakan perintah penggantungan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak memberi sebarang kesan kepada Barisan Nasional (BN) membuka pintu rundingan kerjasama politik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, hal itu kerana BN masih belum menentukan hala tuju termasuk berkaitan sebarang rundingan dengan mana-mana parti termasuk dengan gabungan berkenaan.
"Tindakan RoS itu tak ada beri kesan apa pun. Sebab kita pun tak menentukan hala tuju kita ke mana.
"Perundingan tetap perundingan tapi asas BN di dalamnya ada pelbagai parti, asas PN pun sama jadi ia tidak menjejaskan hala tuju parti itu sendiri," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Melaka 2026 di sebuah hotel, di sini pada Khamis.
Pada Rabu, RoS menegaskan pendaftaran PN tidak dibatalkan, sebaliknya gabungan itu dikenakan perintah penggantungan semua kegiatan berkuat kuasa Rabu.
RoS dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bertarikh 22 September 2026 dan memberikan tempoh munasabah kepada PN untuk menjawab notis berkenaan.
Ditanya sama ada penggantungan itu memberikan kelebihan kepada BN, Ab Rauf berkata, status PN ketika ini masih dalam proses untuk memberikan penjelasan kepada RoS dan belum boleh dianggap sebagai penggantungan muktamad.
"Saya rasa dia belum digantunglah, cuma PN diminta berikan tunjuk sebab kenapa ia tidak boleh digantung.
"Kalau sekiranya berlaku penggantungan, itu kita tunggu masa hari penggantungan nanti," katanya.






