PRN Melaka: Tiada rasa sakit hati, kesal - Penyandang kerusi DUN Rembia

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 9:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Tiada rasa sakit hati, kesal - Penyandang kerusi DUN Rembia
Dalam PRN Melaka pada 2021, Jailani (gambar) memenangi kerusi DUN Rembia atas tiket BN dengan majoriti lebih 800 undi sebelum menyertai Pas. - Foto Astro Awani

ALOR GAJAH - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis akur dengan apa jua keputusan kepimpinan Pas berhubung pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk sekiranya tidak dicalonkan.

Dalam masa sama, beliau tidak kecewa atau terkilan meskipun Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan calon baharu bagi kerusi DUN Rembia yang dimenanginya pada pilihan raya lalu.

Jailani juga menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta kepimpinan Pas negeri dan Pusat.

“Rasa sakit hati, kesal, tidak ada. Rasa ‘frust’ ataupun putus asa, tidak ada. Apa sahaja arahan dan keputusan Yang Berhormat Tuan Guru Presiden serta kepimpinan Pas negeri dan pusat, sekiranya mereka mengarahkan saya tidak bertanding sama sekali di mana-mana DUN termasuk Rembia, saya akan taat,” katanya kepada Astro Awani di sini pada Rabu.

Dalam PRN Melaka pada 2021, Jailani memenangi kerusi DUN Rembia atas tiket BN dengan majoriti lebih 800 undi sebelum menyertai Pas.

BN meletakkan calon muka baharu, Ahmad Norazril Abdul Aziz di kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

Mengulas lanjut, Jailani yang juga Setiausaha Pas Negeri menambah, pengalaman bersama parti Islam itu selama empat tahun turut mengubah pendekatannya dalam melihat soal kepentingan diri.

“Pertama kali dalam hidup saya, saya meletakkan qada dan qadar ini lebih tinggi daripada apa yang saya rasa.

“Jadi perasaan kepentingan diri, kepentingan apa yang saya dapat, seharusnya saya diberi ini, tidak wujud,” jelasnya.

Beliau turut meminta penyokongnya supaya tidak bertindak mengikut emosi susulan perkembangan berkenaan, sebaliknya menerima apa jua keputusan yang bakal diumumkan Pas.

Mengulas kemungkinan dicalonkan di kerusi lain, Jailani sekali lagi menegaskan beliau terbuka dengan sebarang keputusan kepimpinan parti.

Ditanya mengenai kriteria calon yang dijangka diumum bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka, Jailani menjelaskan Pas mempunyai beberapa kriteria dalam pemilihan calon.

Ia antaranya aspek akhlak yang dititikberatkan, selain kelayakan akademik, latar belakang pekerjaan dan keluarga serta karisma kepimpinan.

PN dijadual mengumumkan senarai calon mereka pada malam ini.

Malam tadi, BN mengesahkan memeterai perjanjian persefahaman politik dengan PN bagi menghadapi PRN Melaka Ke-16, yang dijadual 14 November ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perjanjian yang ditandatangani di Menara Dato Onn, itu diabsahkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, selain MKT turut bersetuju BN dan PN melancarkan Manifesto Pilihan Raya bersama.

BN meletakkan 21 calon pada PRN kali ini, manakala tujuh kerusi lagi diberikan kepada Pas dan rakan kerjasamanya. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved