
PORT DICKSON – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi sebanyak 72 hingga 75 peratus pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini berikutan suasana kempen yang disifatkan semakin sengit.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan pemerhatian terhadap sambutan penyokong sepanjang tempoh berkempen yang dijangka mendorong lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Berdasarkan suasana kempen yang sengit di Negeri Sembilan, kita percaya penyokong akan ramai keluar mengundi. Kita menjangkakan kadar keluar mengundi sekitar 72 hingga 75 peratus.
“Insya-Allah kita sama-sama berdoa dan berharap semua pengundi dapat keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.
Terdahulu, Ramlan memaklumkan, proses pengundian awal yang berlangsung hari ini berjalan lancar melibatkan 38 pusat mengundi awal dan 70 saluran di seluruh Negeri Sembilan.
Menurutnya, seramai 16,467 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis layak mengundi secara fizikal, sebanyak 5,591 pengundi pos bagi tentera dan 281 (undi pos polis).
Setakat pukul 10 pagi, kadar keluar mengundi direkodkan sebanyak 34.26 peratus dan SPR menjangkakan peratusan itu mampu melepasi 90 peratus menjelang pusat pengundian ditutup petang ini.
Beliau berkata, sasaran itu realistik walaupun terdapat beberapa faktor seperti perubahan status pasangan anggota keselamatan yang menyebabkan kadar keluar mengundi sukar mencapai 100 peratus. – KOSMO! ONLINE
The post PRN N. Sembilan: SPR jangka 75 peratus keluar mengundi Sabtu ini appeared first on Kosmo Digital.





