
KUALA PILAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli mendedikasikan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kepada seluruh jentera Barisan Nasional (BN) yang disifatkannya sebagai tulang belakang kejayaan mempertahankan kerusi berkenaan.
Beliau berkata, kemenangan itu bukanlah kejayaan dirinya semata-mata, sebaliknya hasil usaha jentera parti yang menunjukkan semangat serta komitmen tinggi sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan BN terus kekal di Linggi.
“Saya tidak menganggap diri saya seorang yang hebat kerana dalam setiap pertandingan, sudah menjadi adat ada yang kalah dan ada yang menang.
“Kemenangan ini bukanlah kejayaan saya seorang kerana saya telah dibantu oleh barisan jentera yang begitu bersemangat dan komited untuk memastikan BN terus kekal di Linggi.
“Jadi, kemenangan ini saya tujukan khas kepada mereka yang sentiasa bekerja keras,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Mohd. Faizal berkata, persaingan di Linggi bukanlah sesuatu yang mudah kerana beliau berdepan seorang pencabar yang hebat iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan iaitu, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah, keputusan telah berpihak kepada saya dan juga barisan jentera,” katanya.
Mohd. Faizal memenangi DUN Linggi selepas memperoleh 9,139 undi, menewaskan Aminuddin yang mendapat 6,163 undi dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md. Said dengan 391 undi.
Beliau menang dengan majoriti 2,976 undi, meningkat berbanding majoriti 1,461 undi yang dicatatkan pada PRN Negeri Sembilan Ke-15 pada 2023. – UTUSAN
The post Kemenangan di Linggi hasil pengorbanan jentera BN appeared first on Utusan Malaysia.






