PRN Negeri Sembilan: 28.11 peratus keluar mengundi setakat 11 pagi - Pengerusi SPR

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 11:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: 28.11 peratus keluar mengundi setakat 11 pagi - Pengerusi SPR
Ramlan (kiri) bersalaman dengan orang ramai ketika meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Paroi Jaya sempena PRN Negeri Sembilan Ke-16 pada Sabtu. Foto Bernama

SEREMBAN -  [DIKEMAS KINI] Kadar keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 mencecah 28.11 peratus setakat 11 pagi ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kadar keluar mengundi pada sebelah pagi agak menggalakkan berdasarkan tinjauan di beberapa pusat mengundi di sekitar Seremban dengan golongan warga emas lebih ramai keluar mengundi pada sebelah pagi ini berbanding pengundi muda.

"Kita harap orang muda cepat-cepat bangun dan keluar mengundi kerana kita menjangkakan pada petang ini cuaca tidak berapa elok.

"Mengikut ramalan kaji cuaca, kawasan yang cuacanya elok sehingga petang cuma di Port Dickson manakala di daerah lain kita menjangkakan akan berlaku hujan,” katanya kepada pemberita  selepas meninjau pusat mengundi Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, SPR menjangkakan sasaran kadar keluar mengundi antara 72 hingga 75 peratus dapat dicapai berdasarkan persaingan sengit antara parti yang bertanding sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari bermula 18 Julai lepas.

Sementara itu, Ramlan berkata, SPR menerima 293 aduan berkaitan kesalahan sepanjang tempoh kempen 14 hari melibatkan kesalahan kecil pilihan raya termasuk pemasangan poster yang tidak mengikut peraturan, dengan semua aduan telah diambil tindakan oleh pasukan pemantau dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) yang diperkenalkan di SMA Dato' Klana Petra Maamor melibatkan Saluran 1 hingga 7 merupakan langkah awal ke arah penggunaan teknologi digital dalam merekodkan kehadiran pengundi pada masa akan datang.

Beliau berkata, pelaksanaan projek rintis berkenaan tidak melibatkan sebarang proses pilihan raya lain dan hanya bertujuan menilai keberkesanan penggunaan kad pengenalan (IC) bagi merekodkan kehadiran pengundi berbanding kaedah manual yang digunakan sebelum ini.

"Kita nak tengok karakter yang berbeza, orang tua, orang muda dan sebagainya. Kita tengok sekolah ini merupakan saiznya agak sesuai untuk tujuan projek rintis.

"Ini cuma projek rintis yang kita rasa merupakan satu 'good start' (permulaan baik) untuk kita mulakan ke arah yang lebih baik pada masa-masa akan datang. Pendaftaran secara digital ini banyak negara dah pakai," katanya yang turut meninjau pengujian sistem tersebut sebelum itu.

Mengenai pelaksanaan sistem berkenaan secara menyeluruh, beliau berkata, SPR belum membuat sebarang keputusan dan akan menilai serta mendapatkan pandangan dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu hasil projek rintis yang dilaksanakan hari ini.

Sebanyak 859,760 pemilih berdaftar, termasuk 7,391 pengundi pos terlibat dalam proses pengundian bagi memilih wakil rakyat hari ini yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi DUN.

Sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 28 Julai lepas, sekali gus melepasi sasaran 90 peratus ditetapkan SPR. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved