PRN Negeri Sembilan: Ismail Lasim antara 3 nama calon Menteri Besar

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 10:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: Ismail Lasim antara 3 nama calon Menteri Besar
Dari kiri Ismail Lasim, Mohd Asna dan Jalaluddin

SEREMBAN - Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim antara tiga nama disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Ismail, 67, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, semalam.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar dijadual berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada kira-kira 11 pagi.

Selain Ismail, nama yang turut disebut-sebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, 62, yang mempertahankan DUN Pertang.

Turut tersenarai ialah bekas Timbalan Speaker Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin, 47, yang memenangi kerusi DUN Lenggeng.

Setakat berita ini ditulis, Ismail antara individu kelihatan hadir di istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baharu di Istana Besar Seri Menanti.

Keputusan PRN Negeri Sembilan semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 18 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 7 kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini bagi mempersembahkan tiga nama calon Menteri Besar, malam tadi.

Sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini, melibatkan 103 calon.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi DUN diikuti BN (14) dan PN (lima), sekali gus menyaksikan pembentukan kerajaan negeri PH dan BN.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah BN Negeri Sembilan menarik sokongan daripada kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April, sekali gus membawa kepada PRN diadakan. - Bernama

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved