
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah memaklumkan akan berpindah untuk bertanding dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat ke Linggi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos ini
Aminuddin dedah tak lari dari Sikamat, pilih DUN Linggi kerana kehendak sendiri
Terbaharu Aminuddin yang juga merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan mendedahkan beliau bukan lari dari Sikamat sebaliknya menjelaskan keputusan bertanding di Linggi adalah kehendak sendiri.
Menurut Aminuddin lagi, beliau juga mahu memberikan laluan DUN Sikamat untuk Ustaz Norazman selain berpesan untuk menjaganya dengan baik kerana sayangkan Sikamat.
“Saya pass baton (beri laluan) bertanding di kerusi Sikamat buat Ustaz Norazman. Saya dah pesan, jaga Sikamat. Saya Sayang Sikamat. Terima kasih Sikamat.
“Saya ke Linggi atas kehendak saya. Ingin berbakti kepada penduduk DUN Linggi. Jika Allah izikan kemenangan, saya akan bekerja keras, lebih lagi untuk penduduk DUN Linggi,” ujarnya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Dah berada di DUN Sikamat selama 4 penggal sejak jadi pembangkang hinggalah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan
Aminuddin turut berkongsi, beliau telah berada di DUN Sikamat selama empat penggal dari seorang ADUN pembangkang, sehingga menjadi Menteri Besar juga masih di kawasan sama.
“Tahun 2008, Sikamat (rakyat) yang sudi memenangkan saya. Kerjaya politik saya mula di sana. Susah, lelah saya penduduk Sikamat yang tahu. Pejabat atas kedai, dari simple-simple je, kini baik rupa dia.
“Dulu semasa peruntukan pembangkang terhad, macam-macam cara kami cari duit untuk mendapatkan bantuan untuk penduduk di sana. Yang bersama-sama susah senang saya sendiri tahu bagaimana kami sama-sama cari dana, buat program utnuk penduduk di sana.
“Di Sikamat, saya bersilaturrahim dengan ramai orang, dari hubungan ADUN dan rakyat sekarang kami rapat macam keluarga.”
Rasa Sikamat seperti kampung sendiri
Beliau turut menyifatkan apabila pulang daripada mengadakan program di Sikamat membuatkannya terasa seperti pulang ke kampung sendiri.
Malah beliau mengatakan keluarga termasuk anak-anak juga sudah selesa dengan penduduk di Sikamat.
“Malam ini, ada sedikit majlis kesyukuran dan doa selamat. Diadakan di rumah kawan saya, yang paling awal menerima dan menyambut saya di Sikamat, arwah Cikgu Badaruddin dan keluarga. Saya doakan arwah dicucuri rahmat Allah, dikurniakan syurga,” katanya lagi.
Tegas keputusan bertanding kerusi DUN Linggi bukan kerana ia kawasan dianggap selamat
Sementara itu, Aminuddin turut menegaskan keputusan dilakukan untuk bertanding di DUN Linggi bukan kerana ia kawasan dianggap sebagai kerusi selamat. Tetapi ia disebabkan mahu menawan salah satu kubu tradisi Barisan Nasional (BN).
Tambah beliau yang mesra dengan panggilan Tok Min, DUN Linggi itu merupakan kawasan yang dimenangi oleh parti BN dalam beberapa pilihan raya yang lalu.
Ia secara tidak langsung menjadikan pertandingan di kerusi terbabit sebagai satu cabaran yang besar kepada PH.
Linggi adalah kubu kuat UMNO & BN
“Linggi bukan kerusi selamat. Linggi merupakan salah satu kubu kuat UMNO dan BN. Mereka telah menang banyak kali di situ dan secara tradisinya memang memenangi kerusi tersebut.
“Kita pernah bertanding di Linggi sebelum ini, tetapi kita kalah. Kali ini saya bertanding di situ kerana mahu berusaha memastikan Pakatan Harapan berjaya memenangi kerusi berkenaan,” ujar Tok Min, dipetik Kosmo.
Beliau yang merupakan Naib Presiden PKR serta Pengerusi PKR Negeri Sembilan turut menjelaskan kewujudan pelabuhan dan pembangunan kawasan perindustrian berhampiran Linggu ada potensi yang besar untuk merancakkan ekonomi selain boleh meningkatkan kemakmuran penduduk setempat.






