PRN Negeri Sembilan: Tiga beradik serikan suasana mengundi dengan busana Jalur Gemilang

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 11:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: Tiga beradik serikan suasana mengundi dengan busana Jalur Gemilang
(Dari kiri) Nadzifah, Bahirah dan Zamzarina tampil mengenakan busana bertemakan Jalur Gemilang sebagai tanda semangat patriotik sempena sambutan Bulan Kebangsaan ketika menjalankan tanggungjawab mengundi di SJKC Chung Hua, Rantau. Foto Bernama
Image from: PRN Negeri Sembilan: Tiga beradik serikan suasana mengundi dengan busana Jalur Gemilang
Zamzarina ketika menunaikan tanggungjawab mengundi di SJKC Chung Hua, Rantau pada Sabtu. Foto Bernama

REMBAU - Tiga beradik mencuri perhatian apabila tampil mengenakan busana bertemakan Jalur Gemilang, sekali gus menyemarakkan semangat patriotik bersempena dengan Bulan Kebangsaan, di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau di sini .

Anak jati Rantau, Zamzarina Basiron, 45, berkata, idea mengenakan pakaian bertemakan patriotik itu tercetus bersempena dengan ketibaan bulan Ogos, selain mahu menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ketika menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Kebetulan sekarang sudah masuk bulan Ogos dan tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan. Jadi, kami cuba menerapkan semangat patriotik menerusi pakaian.

"Saya kebetulan seorang guru dan memang mempunyai pakaian sebegini setiap tahun. Jadi, saya ajak adik-beradik supaya sama-sama memeriahkan suasana ketika mengundi hari ini,” katanya selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di sekolah berkenaan.

**media[3601925]**

Sementara itu, adiknya, Bahirah Basiron, 39, yang juga usahawan makanan berkata, persiapan untuk mengenakan busana berkenaan dibuat kira-kira dua hari lepas dengan melengkapkannya menggunakan pelbagai aksesori bertemakan Jalur Gemilang.

Seorang lagi adik mereka, Nadzifah Basiron, 36, yang bertugas di Hospital Rembau berkata, walaupun tidak sempat mendapatkan pakaian bertemakan patriotik berikutan komitmen kerja, beliau tetap hadir untuk memberikan sokongan kepada kakaknya.

"Saya seronok tengok kesungguhan kedua-dua kakak menceriakan suasana hari pengundian,” katanya.

Pengundian pada PRN Negeri Sembilan yang membabitkan sebanyak 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos hari ini berlangsung dalam keadaan cuaca baik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi antara 72 dan 75 peratus dengan keputusan dijangka diketahui seawal 10 malam, manakala keputusan penuh diperoleh sebelum tengah malam. - Bernama

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved