PRN Negeri Sembilan: UMNO perlu ambil iktibar, lebih beradab dengan rakyat - Syed Ali

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 1:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: UMNO perlu ambil iktibar, lebih beradab dengan rakyat - Syed Ali
Syed Ali

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan UMNO supaya mengambil iktibar daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan kemenangan besar gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, keputusan itu menjadi peringatan bahawa pemimpin yang semakin menjauhkan diri daripada rakyat selepas memperoleh kuasa akhirnya berdepan risiko ditolak menerusi peti undi.

Menurutnya, pemimpin UMNO perlu lebih beradab, merendah diri serta sentiasa mendampingi rakyat dengan menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi mereka.

“Apabila diberi kuasa, jangan wujudkan pagar yang memisahkan pemimpin dengan masyarakat setempat sehingga orang sekeliling pula berlagak lebih sudu daripada kuah dan akhirnya menimbulkan kebencian rakyat.

“Berpeganglah kepada amanah dalam menyantuni masalah rakyat. Jika ada yang mahu bertemu pemimpin, jangan dipinggirkan atau dipindahkan ke sana sini dengan pelbagai alasan. Sebarang pesanan juga perlu dijawab secara berhemah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Syed Ali berkata, setiap pemimpin perlu menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran supaya tidak menjadi sombong, lupa daratan atau terlalu bermegah dengan jawatan yang disandang.

Beliau berkata, UMNO khususnya perlu bermuhasabah dan belajar daripada pengalaman ketika parti itu kehilangan kuasa susulan kebangkitan gelombang penolakan rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Pakatan Harapan (PH) yang tewas pada PRN Negeri Sembilan supaya tidak menyalahkan pengundi dengan mendakwa keputusan pilihan raya dipengaruhi sentimen perkauman.

Sebaliknya, katanya, pemimpin PH perlu menerima hakikat bahawa rakyat kini semakin tertekan dengan pelbagai isu yang memberi kesan kepada kehidupan harian mereka.

Beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa BN-PN memainkan sentimen 'Melayu terancam' sepanjang kempen sehingga menyumbang kepada kekalahan DAP sebagai alasan yang tidak menyelesaikan punca sebenar kekalahan.

“Pada saya, pengundi di Negeri Sembilan telah membuktikan kematangan mereka dalam memilih pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat, bukannya terus bermain dengan retorik politik atau menyalahkan pihak lain apabila tewas,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved