
SEREMBAN: Pelaksanaan Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (Optical Character Recognition Voter Attendance, OCR-VA) yang digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini berisiko mengganggu proses pengundian.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Amiruddin Harun berkata, pihaknya tidak pernah mendapat makluman terlebih awal berhubung pelaksanaan sistem itu.
“Saya rasa sepatutnya dibincangkan dahulu kepada semua calon sebelum pelaksanaannya kerana kita tidak tahu apa yang ingin dilaksanakan dan apa boleh membantu sebenarnya.
“Kita khuatir ini akan mengganggu pengundian pada hari ini, yang mungkin menyebabkan ia lebih lambat, nanti orang akan rasa marah.
“Kita mahu proses mengundi cepat, mereka tidak perlu menunggu lama-lama dan beratur. Saya sendiri tidak terus masuk mengundi sebab saya nak tahu berapa minit perlu menunggu sebelum mengundi.
“Jadi, ini antara yang kita perlu tambah baik dari semasa ke semasa, bukannya memberikan satu percubaan yang kita khuatir kalau gagal, ia akan menyebabkan orang marah yang akhirnya mereka akan tidak puas hati,” katanya selepas mengundi di saluran dua di Pusat Mengundi Institut Perguruan Raja Melewar di Sikamat, di sini, pagi ini.
Beliau mengulas mengenai bantahan rasmi calon PH bagi DUN Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim terhadap pelaksanaan Sistem OCR-VA yang digunakan dalam PRN kali ini.
Bantahan itu dikemukakan menerusi sepucuk surat kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun; Pengarah Pilihan Raya Negeri Sembilan, Norlinah Jamman serta Pegawai Pengurus DUN Ampangan.
Menerusi surat berkenaan, Muhammad Nazri mendakwa, pelaksanaan sistem OCR-VA tidak pernah dimaklumkan kepada beliau sebagai calon sehingga hanya mengetahui mengenainya melalui ahli parti pada hari ini.
Dakwanya, pelaksanaan sistem baharu itu tanpa sebarang makluman awal adalah satu tindakan yang prejudis terhadap calon dan parti selain boleh menjejaskan gerak kerja pada hari pengundian. – UTUSAN
The post PRN NS: PH dakwa tak dapat makluman SPR guna sistem OCR VA appeared first on Utusan Malaysia.






