PRN Sarawak: DAP Pusat serah keputusan kerusi, calon kepada negeri

LocalPolitics
15 Nov 2026 • 1:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Sarawak: DAP Pusat serah keputusan kerusi, calon kepada negeri
Antony (tiga dari kiri) merasmikan Konvesyen Tahunan DAP Johor di Kluang.

KLUANG - DAP Pusat tidak akan menentukan jumlah kerusi yang bakal ditandingi mahupun senarai calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, sebaliknya menyerahkan keputusan berkenaan kepada kepimpinan negeri.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu selaras dengan autonomi yang diberikan kepada DAP Sarawak untuk menentukan sendiri strategi serta pendekatan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Menurutnya, kepimpinan negeri mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan berdasarkan pertimbangan dan keperluan politik di Sarawak.

"Berkenaan jumlah kerusi yang ditandingi serta senarai calon, semuanya diserahkan kepada DAP Sarawak untuk menentukannya.

"Dari segi autonomi parti, kita memberikan kuasa kepada DAP Sarawak untuk membuat keputusan termasuk strategi yang akan digunakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Johor di sini, pada Ahad.

Turut hadir Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching.

Anthony berkata, DAP menyedari cabaran besar yang menanti parti itu kerana setiap pilihan raya bukan satu medan mudah untuk mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sarawak ke-13 berlangsung pada 12 Disember ini, dengan penamaan calon pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.

Pada PRN lalu, DAP hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing di Pending dan Padungan daripada keseluruhan 82 kerusi dipertandingkan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada empat parti pula menguasai 79 kerusi, manakala satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas..

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved