
TAWAU: Parti Warisan akan melancarkan slogan baharu kempen Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di sini yang akan dirasmikan presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hari ini (Sabtu).
Menurut kenyataan media wakil pimpinan parti, pelancaran slogan kali ini melambangkan arus perubahan akan mula bertiup dari Tawau ke seluruh Sabah.
Majlis itu dijadual turut dihadiri Timbalan Presiden, Darell Leiking dan beberapa Ahli Majlis Tertinggi.
Kenyataan itu turut menyatakan Warisan pada masa ini merupakan satu-satunya parti tempatan yang bersifat pelbagai kaum serta tidak bergabung dengan mana-mana parti lain.
“Warisan yang berhasrat bertanding di 73 kerusi negeri yakin mampu kembali membentuk kerajaan dalam pilihan raya akan datang, demi membawa rakyat ke arah kehidupan yang lebih stabil dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.
Menurut penganjur, majlis pelancaran slogan itu diadakan pada sesi pagi, manakala, Malam Pesta Tanglung sempena Pesta Tanglung 2025 turut diadakan di lokasi sama, Fuji Park di sepanjang Jalan Sin On, anjuran Parti Warisan Tawau dan Kalabakan.
Program akan bermula jam 9 pagi dan dijangka berakhir jam 1 petang, selepas selesai acara pelancaran slogan baharu dan sidang media.

