Peralihan OnePlus kepada sub‑jenama Oppo semakin ketara. Melalui laman rasmi OnePlus di Jerman, Sepanyol dan Perancis, pengguna boleh melihat iklan yang mempromosikan aksesori serta produk IoT Oppo. Pada masa yang sama, mereka turut dipaparkan dengan iklan Oppo. Apabila ditekan, pengguna akan dibawa terus ke laman atau produk Oppo.

Hal ini menunjukkan bahawa OnePlus seolah‑olah mengalihkan pelanggan sedia ada kepada Oppo dan bukannya mengekalkan mereka dengan produk sendiri. Dengan kata lain, OnePlus cuba memberi bayangan bahawa ia sedang berundur daripada pasaran Eropah dan membiarkan Oppo mengambil alih. Malah dalam salah satu iklan, OnePlus menyatakan bahawa produk Oppo dilengkapi dengan perkakasan dan perisian terkini serta direka untuk integrasi lancar dengan teknologi OnePlus.

Apa yang berlaku sekarang bukanlah sesuatu yang benar‑benar baharu. Corak ini sudah kelihatan sejak beberapa bulan lalu. Ia lebih kepada urusan dalaman BBK Electronics berbanding perubahan besar dalam keseluruhan ekosistem Android. Perkara ini mungkin menunjukkan integrasi yang lebih mendalam antara OnePlus dan Oppo. Ia bukan sekadar kerjasama teknologi, tetapi juga berpotensi melibatkan pemasaran dan jualan. Dengan kata lain, ia barangkali sebahagian daripada proses penggabungan strategi antara kedua‑dua jenama.

Di Malaysia corak seperti di Eropah itu belum berlaku secara terbuka di laman rasmi OnePlus. Jika membuka laman rasmi OnePlus Malaysia, ia masih memfokuskan kepada produk OnePlus sahaja tanpa iklan Oppo, begitu juga sebaliknya. Namun begitu, Oppo Malaysia sudah mula menjual produk OnePlus sejak beberapa bulan lalu. Maksudnya, Oppo bertindak sebagai pengedar rasmi untuk telefon pintar OnePlus di pasaran ini. Jadi walaupun laman OnePlus Malaysia masih wujud, dari segi jualan Oppo sudah mula mengambil alih peranan tersebut.
Sumbr – GSMArena






