
PETALING JAYA: Permintaan terhadap vitamin C dan suplemen kesihatan tambahan meningkat ketika jerebu melanda beberapa kawasan negara apabila orang ramai semakin mengambil berat terhadap usaha memperkukuh sistem imun dan menjaga kesihatan pernafasan.
Ahli farmasi, Loren Teo berkata, ketika jerebu berlaku, minat orang ramai terhadap vitamin C meningkat kerana menganggapnya sebagai salah satu cara untuk menyokong sistem imun tubuh.
“Ada juga permintaan terhadap suplemen yang memberi tumpuan kepada kesihatan pernafasan, khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai masalah seperti asma,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Loren berkata, antara produk yang mendapat perhatian ialah suplemen berasaskan cendawan susu harimau (Tiger Milk Mushroom) yang sering dikaitkan dengan sokongan terhadap kesihatan sistem pernafasan dan fungsi paru-paru.
“Bagi pesakit asma, mereka lebih prihatin terhadap kelancaran pernafasan apabila berlaku jerebu.
“Selain mendapatkan rawatan dan mengikut nasihat doktor, ada yang memilih untuk mengambil suplemen tambahan sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan kesihatan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, pengambilan suplemen tidak seharusnya dianggap sebagai pengganti ubat atau rawatan yang diberikan doktor, terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti asma.
Sebaliknya, mereka perlu mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan sebelum mengambil sebarang suplemen, khususnya jika sedang menjalani rawatan atau mengambil ubat-ubatan tertentu. – UTUSAN
The post Produk suplemen sokongan pernafasan meningkat appeared first on Utusan Malaysia.





