Produk usahawan tempatan, warisan pacu pertumbuhan pelancongan Perlis

Business & Finance
25 Sep 2026 • 4:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Produk usahawan tempatan, warisan pacu pertumbuhan pelancongan Perlis

PERLIS: Kepelbagaian produk usahawan tempatan dan perusahaan berasaskan warisan berpotensi menjadi pemacu kepada pertumbuhan sektor pelancongan Perlis menerusi penawaran pengalaman unik kepada pelancong.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man berkata, trend pelancongan kini semakin beralih kepada pengalaman yang membolehkan pelancong mencuba, merasai dan melihat sendiri proses penghasilan produk tempatan.

Menurutnya, perusahaan tradisional seperti pembuatan belacan dan capal mempunyai nilai tambah dalam menarik pelancong kerana menawarkan pengalaman yang sukar diperoleh di tempat lain.

“Saya melihat produk-produk seperti ini mempunyai potensi kerana permintaan pelancong sekarang adalah kepada experiential tourism (pelancongan berasaskan pengalaman).

“Kalau dahulu kita melancong untuk sightseeing (melihat sesuatu), sekarang pelancong mahu mengalami dan merasai sendiri pengalaman tersebut.

“Jadi, perusahaan tradisional seperti pembuatan belacan, pembuatan capal dan sebagainya menawarkan pengalaman yang mungkin tidak boleh diperoleh di tempat lain. Itu yang kita cuba ketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan Media Cuti-Cuti Malaysia Surreal Experiences Perlis yang berlangsung dari 22 hingga 25 September lalu.

Abdul Hadi berkata, Tourism Malaysia bekerjasama dengan agensi pelancongan di Perlis seperti Truly Astana Holidays Sdn.Bhd., Bintong Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Smart Leisure & Travel Sdn. Bhd. bagi membangunkan pakej yang menghimpunkan pelbagai produk pelancongan negeri itu.

“Kita menggalakkan agensi pelancongan di Perlis membangunkan pakej-pakej pelancongan kerana mereka boleh merangkumi semua produk pelancongan dalam satu pakej,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Perlis menerima kira-kira 3.7 juta pelawat domestik pada 2025, meningkat 15.6 peratus berbanding kira-kira 3.2 juta pelawat pada tahun sebelumnya.

Sejajar dengan Kempen Melawat Malaysia 2026-2027 dan Visit Perlis 2024-2026, Program Lawatan Media Cuti-Cuti Malaysia Surreal Experiences Perlis menampilkan pelbagai produk dan pengalaman tempatan merangkumi gastronomi, perusahaan tradisional, ekopelancongan, warisan serta aktiviti membeli-belah.

Antara yang diketengahkan ialah Mokti’s Ice Cream milik Siti Fatimah Adnan, Perusahaan HM Belacan oleh Husin Maidin serta Dr. Saad Capal yang menghasilkan capal tradisional sejak 2001.

Kak Su Laksa Kuala Perlis pula mengetengahkan laksa beras, manakala Nipah Klasik menawarkan hidangan tempatan dan demonstrasi penghasilan air nira nipah memberi pengalaman langsung kepada pengunjung untuk mengenali proses pengeluaran minuman tradisional yang menjadi identiti unik kawasan setempat. – UTUSAN

The post Produk usahawan tempatan, warisan pacu pertumbuhan pelancongan Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved