amree25/09/2026 - 09:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept — Permintaan produk keluli di pasaran tempatan dijangka menjadi antara pemacu penting yang membantu Hiap Teck Venture Berhad mengekalkan pertumbuhan prestasi bagi tahun kewangan akan datang, disokong pembangunan infrastruktur, aktiviti pembuatan, pelaburan industri baharu dan perkembangan pesat sektor pusat data (DC).
Kumpulan namun berdepan persekitaran industri keluli global yang masih mencabar dengan pertumbuhan permintaan sederhana serta tekanan harga akibat ketidakseimbangan bekalan dan permintaan, manakala persaingan daripada lebihan kapasiti keluli global dan eksport negara pengeluar utama turut menjadi antara risiko yang perlu diberi perhatian.
Ujarnya, dalam menghadapi cabaran itu, kumpulan menjangkakan permintaan domestik kekal berdaya tahan, sekali gus memberi ruang kepada syarikat untuk mengekalkan momentum pertumbuhan menerusi pengukuhan operasi serta peningkatan kecekapan dan penggunaan kemudahan pengeluaran.
"Pada masa sama, Hiap Teck akan terus memberi tumpuan kepada pengoptimuman kos dan kecekapan operasi, termasuk usaha sama dengan syarikat dari China yang mengendalikan barisan pengeluaran gegelung canai panas berkapasiti 1,450 milimeter di Terengganu," katanya.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, untung bersih kumpulan meningkat 2.25% kepada RM20.15 juta bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2026 (4QFY26), daripada RM19.71 juta setahun sebelumnya, walaupun hasil susut 28% kepada RM246.56 juta berbanding RM342.74 juta.
Jelasnya, peningkatan keuntungan itu disokong margin yang lebih baik dalam segmen pembuatan serta pengurangan kerugian daripada segmen perdagangan.

Kemerosotan hasil pula ujarnya, berpunca daripada faktor jumlah jualan yang lebih rendah dan isu penurunan harga jualan purata (ASP) produk keluli dalam suku berkenaan.
"Segmen perdagangan serta pembuatan dan perancah merupakan penyumbang utama hasil kumpulan, masing-masing merangkumi 52.5% dan 46.4% daripada jumlah hasil," tambah Hiap Teck.
Bagi keseluruhan FY26, untung bersih meningkat 26.3% kepada RM137.8 juta daripada RM109.1 juta pada FY25, manakala hasil susut sedikit kepada RM1.43 bilion daripada RM1.44 bilion.
Susulan prestasi itu, Lembaga Pengarah kumpulan tersebut mencadangkan dividen pertama dan akhir sebanyak 0.7 sen sesaham bagi FY26, meningkat daripada hanya 0.5 sen sesaham pada FY25.
Menyentuh mengenai prospek masa depan, Hiap Tech berkata penggunaan dan kecekapan operasi usaha sama syarikat itu dengan Jianlong Group menunjukkan peningkatan berterusan.
"Kami akan terus memberi tumpuan kepada pengoptimuman kos, kecekapan operasi dan strategi perniagaan berhemat bagi mengukuhkan daya tahan serta menyokong pertumbuhan mampan dalam persekitaran industri keluli yang mencabar," katanya. - DagangNews.com






