Produktiviti jadi pemacu kenaikan gaji mampan

Business & Finance
10 Oct 2026 • 8:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Produktiviti jadi pemacu kenaikan gaji mampan

MALAYSIA perlu mempercepat peralihan kepada ekonomi berproduktiviti tinggi bagi memastikan peningkatan gaji pekerja dapat dikekalkan secara mampan dan tidak bergantung semata-mata kepada kenaikan paras gaji minimum.

Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, pelaksanaan pelbagai dasar gaji wajar telah membantu meningkatkan lantai gaji pekerja berpendapatan rendah, memperkukuh pendapatan serta meletakkan asas kepada pembentukan pasaran buruh yang lebih inklusif dan produktif.

“Bagaimanapun, cabaran seterusnya adalah memastikan pekerja terus menikmati pertumbuhan gaji yang bermakna sepanjang laluan kerjaya, termasuk melepasi paras lantai gaji.

“Apabila landskap pasaran semakin dinamik, cabaran dasar kini tertumpu kepada usaha memastikan pekerja dapat terus menikmati kenaikan gaji secara mampan dan bermakna melangkaui paras lantai gaji di sepanjang laluan kerjaya,” menurut laporan itu.

Menurut laporan, cabaran tersebut berkait rapat dengan struktur ekonomi negara, khususnya kebergantungan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berintensifkan buruh serta beroperasi dalam industri yang secara tradisinya menawarkan kadar gaji lebih rendah.

Keadaan itu mengehadkan ruang untuk kenaikan gaji yang berterusan sekiranya firma tidak beralih kepada aktiviti bernilai ditambah lebih tinggi dan meningkatkan penggunaan teknologi serta modal.

“Justeru, peningkatan produktiviti perlu menjadi penghubung antara pengukuhan keupayaan perniagaan dengan pertumbuhan gaji pekerja.

“Langkah ini membolehkan negara menangani isu ketidakseimbangan gaji secara struktural, memperkukuh tangga gaji dan memastikan kemakmuran ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup pekerja secara menyeluruh,” katanya.

Walaupun ekonomi Malaysia terus berkembang dan berjaya mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan gaji nominal, manfaat pertumbuhan itu masih belum dinikmati secara sekata oleh semua pekerja.

Antara ukuran penting bagi menilai sejauh mana pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada pendapatan pekerja ialah bahagian pendapatan buruh, yang diukur melalui pampasan pekerja (PP).

Peningkatan bahagian pendapatan buruh menunjukkan pekerja menerima bahagian manfaat yang lebih besar daripada aktiviti pengeluaran, manakala bahagian yang rendah atau menurun boleh menunjukkan pertumbuhan ekonomi tidak diterjemahkan secara berkadar kepada pampasan pekerja.

Menurut laporan itu, isu berkenaan menunjukkan cabaran gaji negara bukan semata-mata berkaitan penetapan gaji minimum, sebaliknya turut melibatkan struktur ekonomi, produktiviti firma dan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Dalam konteks itu, pertumbuhan pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih baik perlu dipertingkatkan bagi membolehkan pekerja bergerak ke tangga pendapatan yang lebih tinggi.

Pada masa sama, perbezaan kesan pelaksanaan dasar gaji minimum, isu pemampatan gaji serta ketidakseimbangan pertumbuhan gaji perlu dinilai bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai struktur pasaran buruh.

Pendekatan tersebut penting bagi memastikan peningkatan gaji tidak hanya berlaku di peringkat bawah melalui pelarasan gaji minimum, tetapi turut menggalakkan pertumbuhan pendapatan merentasi keseluruhan hierarki pekerjaan.

Secara keseluruhannya, cabaran utama Malaysia kini adalah mengubah struktur ekonomi supaya firma mempunyai kapasiti dan insentif untuk menawarkan pekerjaan yang lebih produktif serta bergaji lebih tinggi.

Dengan produktiviti sebagai asas, pertumbuhan gaji boleh bergerak seiring dengan peningkatan keupayaan perniagaan, sekali gus membolehkan manfaat pertumbuhan ekonomi diterjemahkan secara lebih meluas kepada pekerja. – UTUSAN

The post Produktiviti jadi pemacu kenaikan gaji mampan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved