
PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bukan laluan untuk pelarian menetap secara kekal, memperoleh status Penduduk Tetap (PR) atau mendapat kewarganegaraan Malaysia.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan sebaliknya, DPP ialah mekanisme untuk mengenal pasti, menyaring, mendokumentasikan dan memantau pelarian sedia ada sementara penyelesaian akhir dilaksanakan mengikut undang-undang.
"DPP juga bukan galakan atau faktor penarik kepada pelarian baharu untuk memasuki Malaysia. Kerajaan telah menetapkan 1 Jan 2023 sebagai tarikh akhir kelayakan, iaitu hanya individu yang telah berada di Malaysia sebelum tarikh tersebut boleh dipertimbangkan untuk menyertai program ini," menurut kenyataan itu, hari ini.
Oleh itu, pelarian yang memasuki negara selepas tarikh berkenaan tidak layak dipertimbangkan di bawah DPP, serta pemilikan kad atau surat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) juga tidak memberikan kelayakan secara automatik.
"Kerajaan tetap meneruskan usaha penghantaran pulang pelarian ke negara asal dan penempatan semula ke negara ketiga," menurut kenyataan itu.
KDN memaklumkan sebarang akses pekerjaan yang diberikan kepada pemegang DPP hanyalah bersifat sementara, terhad dan tertakluk pada syarat serta kelulusan kerajaan, dan tidak bermaksud pasaran pekerjaan negara dibuka secara bebas kepada pelarian.
"Kebenaran diberikan kepada individu yang memenuhi kriteria ditetapkan sahaja tertakluk pada kelulusan kerajaan serta terhad kepada sektor dan jenis pekerjaan yang dibenarkan," menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan tersebut mengambil kira keperluan sebenar industri, khususnya sektor yang masih berdepan dengan kekurangan tenaga kerja bagi pekerjaan bercirikan 3D (kotor, berbahaya dan sukar) yang kurang diceburi tenaga kerja tempatan.
"Keutamaan peluang pekerjaan kepada warganegara Malaysia tetap terpelihara, selaras dengan dasar penggajian pekerja asing dan kepentingan keselamatan negara," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, KDN memaklumkan akses pekerjaan secara sah membolehkan pelarian memperoleh kemahiran, pengalaman dan rekod pekerjaan yang boleh disahkan, sekali gus membantu mereka memenuhi kriteria bagi laluan penempatan alternatif ke negara ketiga, termasuk program mobiliti pekerjaan yang ditawarkan oleh negara penerima.
Pendekatan itu juga membolehkan kerajaan mengurus tenaga kerja asing yang telah berada di Malaysia secara terkawal, sekali gus mengurangkan keperluan membawa masuk pekerja asing baharu bagi mengisi kekosongan tertentu.
Menurut KDN, isu pelarian merupakan masalah legasi yang telah berlarutan selama beberapa dekad dan membawa cabaran besar kepada negara dari sudut ekonomi, sosial, keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang.
"KDN turut berdepan tekanan terhadap kapasiti depot tahanan imigresen, kos pengurusan yang meningkat serta risiko kesihatan dan keselamatan akibat kesesakan," menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, KDN bersama-sama Kementerian Luar akan terus mengusahakan kerjasama dengan negara asal dan negara ketiga bagi membolehkan penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
"Dalam tempoh tersebut, DPP berperanan memastikan pelarian sedia ada dapat dikenal pasti, dipantau dan dikawal, bukannya dibiarkan berada di Malaysia tanpa rekod serta pengawasan pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.
KDN turut menegaskan bahawa DPP bukan dasar penempatan kekal pelarian di Malaysia dan matlamat kerajaan adalah untuk mengurus keberadaan mereka secara teratur dan terkawal sementara usaha penghantaran pulang atau penempatan semula diteruskan.
-- BERNAMA






