GP Malaysia: Hakim Danish empat terpantas, tembus ke Q2

30 Oct 2026 • 2:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: GP Malaysia: Hakim Danish empat terpantas, tembus ke Q2

SEPANG – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli memulakan kempen Grand Prix (GP) Malaysia dengan langkah kanan apabila menamatkan sesi latihan di tempat keempat terpantas, sekali gus mengesahkan tiket automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2).

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencatat masa 2 minit 11.573 saat (s) untuk berada dalam kelompok 14 pelumba terbaik yang layak secara automatik ke Q2 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Catatan itu menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu berkenaan hanya ketinggalan 0.146s di belakang pelumba terpantas, David Almansa daripada Liqui Moly Dynavolt Intact GP yang merekodkan masa 2:11.427s.

Rico Salmela daripada Red Bull KTM Tech3 menduduki tempat kedua dengan catatan 2:11.496s, manakala pelumba Indonesia, Veda Pratama daripada Honda Team Asia melengkapkan kelompok tiga terbaik menerusi catatan masa 2:11.519s.

Lebih membanggakan, kejayaan menembusi kelompok 14 terbaik itu membolehkan Hakim Danish meneruskan rentak konsistennya dalam musim sulung Moto3 apabila sekali lagi mengelak laluan sukar menerusi Q1 terutama dua pusingan perlumbaan sebelum ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu sebelum ini turut menunjukkan kemampuan bersaing dalam kelompok hadapan pada beberapa pusingan musim ini, termasuk di Brazil, Catalunya dan GP Republik Czech.

Keputusan positif di Sepang itu pastinya menjadi suntikan motivasi buat Hakim Danish yang membawa harapan besar penyokong tempatan untuk mencabar podium di laman sendiri.

Sesi kelayakan Q2 yang berlangsung esok bakal menjadi medan penting buat pelumba negara itu untuk memperbaiki catatan masa dan memburu petak permulaan terbaik sebelum turun beraksi dalam perlumbaan utama Ahad ini. – KOSMO! ONLINE

The post GP Malaysia: Hakim Danish empat terpantas, tembus ke Q2 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved