liza13/11/2026 - 15:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov – Malaysian Rating Corp Bhd (MARC Ratings) mengekalkan penarafan AA-IS terhadap program Sukuk Murabahah MMC Port Holdings Bhd meskipun nilai program pembiayaan itu ditingkatkan kepada RM2 bilion daripada RM1 bilion.
MARC Ratings dalam satu kenyataan berkata prospek penarafan berkenaan kekal stabil, mencerminkan kedudukan kredit MMC Port yang disokong prestasi operasi dan kewangan portfolio pelabuhannya.
Peningkatan saiz program itu memberi ruang pembiayaan lebih besar kepada kumpulan, dengan hasil daripada penerbitan sukuk dalam masa terdekat akan digunakan untuk membiayai pelaburan kumpulan.
Penilaian berkenaan turut mengambil kira keupayaan MMC Port menjana pendapatan dividen yang tinggi dan konsisten daripada pengendali pelabuhan utamanya.
Antara aset utama kumpulan ialah Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor di Johor, Northport di Selangor serta Pelabuhan Pulau Pinang.
Prestasi kewangan bertambah baik
Dari sudut kewangan, MMC Port mencatatkan hasil RM2.9 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY2026), meningkat daripada RM2.3 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Margin keuntungan operasi turut bertambah baik kepada 38.7% berbanding 31.1% pada 1HFY2025, menunjukkan peningkatan keupayaan kumpulan menjana keuntungan daripada operasi perniagaannya.
Dalam tempoh sama, aliran tunai daripada operasi secara disatukan meningkat kepada RM1.2 bilion berbanding RM800 juta setahun sebelumnya.
Nisbah perlindungan faedah dan perlindungan hutang masing-masing direkodkan pada 11.27 kali dan 0.38 kali.
Penyenaraian MMC Port ditangguhkan
Dalam perkembangan berkaitan, pengekalan penarafan itu hadir ketika rancangan penyenaraian MMC Port di Pasaran Utama Bursa Malaysia masih belum diteruskan.
Pada Ogos 2026, MMC Corp dilaporkan mengarahkan penasihatnya menghentikan kerja berkaitan cadangan tawaran awam permulaan (IPO) perniagaan pelabuhannya itu, susulan kebimbangan terhadap penilaian tinggi yang diminta.
IPO berkenaan sebelum ini dijangka mampu mengumpul kira-kira AS$2 bilion (RM8.5 bilion), dengan hasilnya akan disalurkan kepada MMC Corp yang dikawal ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Bloomberg pada Jun lalu melaporkan beberapa syarikat Asia dan dana pelaburan berteraskan infrastruktur telah didekati bagi mendapatkan pegangan minoriti dalam MMC Port.
Laporan itu, yang memetik sumber turut menyebut Syed Mokhtar mungkin menyasarkan penilaian melebihi AS$10 bilion bagi keseluruhan perniagaan pelabuhan berkenaan.
Selain mengendalikan beberapa pelabuhan utama negara, MMC Port turut mengendalikan Pelabuhan Andaman di Kedah serta tiga terminal kapal persiaran di Malaysia. IPO itu pada asalnya disasarkan berlangsung pada suku keempat 2025 sebelum ditangguhkan ke 2026.
Sebarang usaha baharu untuk menyenaraikan MMC Port, yang merupakan pengendali pelabuhan kontena terbesar di Malaysia, memerlukan permohonan baharu serta keseluruhan proses kawal selia dimulakan semula.
CIMB Investment Bank merupakan penasihat utama, penyelaras global bersama, pengurus buku bersama, pengurus penaja jamin tunggal dan penaja jamin bersama bagi cadangan IPO itu.
HSBC turut dilantik sebagai penyelaras global bersama dan pengurus buku bersama, manakala AmInvestment Bank, Bank Muamalat Malaysia, CGS International, CLSA, Jefferies, Kenanga Investment Bank, Maybank Investment Bank dan RHB Investment Bank bertindak sebagai pengurus buku bersama. - DagangNews.com






