Projek Battersea Power Station masuk ke fasa baharu dengan pembinaan Prospect Place South

10 Sep 2026 • 12:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek Battersea Power Station masuk ke fasa baharu dengan pembinaan Prospect Place South Image from: Projek Battersea Power Station masuk ke fasa baharu dengan pembinaan Prospect Place South liza10/09/2026 - 12:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Sept – Battersea Power Station Development Company (BPSDC) bersama Sisk memulakan kerja pembinaan Prospect Place South, fasa pembangunan baharu bagi kawasan kejiranan tepi sungai seluas 17 hektar (42 ekar) di Battersea Power Station, London.

 

Direka oleh firma seni bina bertaraf dunia Gehry Partners, projek itu akan merangkumi kira-kira 300 kediaman baharu, ruang komersial seluas 65,000 kaki persegi, hab komuniti seluas 15,000 kaki persegi serta hab basikal dengan 600 ruang percuma.

 

Permulaan pembinaan itu dibuat dengan satu upacara pecah tanah yang dihadiri Ahli Parlimen Parti Buruh bagi Battersea, Marsha de Cordova; Ketua Majlis Wandsworth, Councillor Robert Morritt; Ketua Pegawai Eksekutif BPSDC, James Saunders; Pengerusi Battersea Project Holding Company, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan serta Pengarah Urusan Sisk, Ger Hayes.

 

Wakil SP Setia, Sime Darby Property, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut hadir. Keempat-empat pihak itu merupakan sebahagian daripada konsortium Malaysia yang membeli tapak Battersea Power Station pada 2012.

 

Projek Prospect Place South akan terdiri daripada dua bangunan iaitu Rosewood House dan Hayworth House yang akan melengkapkan Electric Boulevard iaitu jalan utama untuk pejalan kaki di kawasan kejiranan tepi sungai berkenaan.

 

Projek Baharu Perkukuh Transformasi Battersea

Sebagai kontraktor utama, Sisk akan mengetuai kerja pembinaan dengan kerjasama BPSDC dan pasukan projek bagi membangunkan kedua-dua bangunan yang direka Gehry Partners itu.

 

Bangunan berkenaan adalah kesinambungan kepada pembangunan sedia ada di Prospect Place dan kekal sebagai satu-satunya bangunan kediaman di United Kingdom yang direka oleh arkitek terkenal dunia Frank Gehry, yang turut mereka bentuk Muzium Guggenheim di Bilbao.

 

Dari aspek kelestarian, Prospect Place South akan menggunakan reka bentuk yang lebih moden bagi mengurangkan jejak karbon. 

 

t

 

Kedua-dua bangunan turut akan dilengkapi bumbung hijau yang menyumbang kepada peningkatan bersih biodiversiti sekurang-kurangnya 10%.

 

Pembinaan projek itu dijangka mewujudkan 400 pekerjaan dengan sasaran 20% tenaga kerja terdiri daripada penduduk tempatan. 

 

Kerja pembinaan Prospect Place South dijangka siap pada 2030, manakala pembangunan berkenaan menjadi langkah penting untuk meneruskan pembangunan baki kawasan kejiranan tepi sungai itu, dengan 6.47 hektar (16 ekar) tapak bekas kawasan perindustrian masih belum dibangunkan.

 

Baki 6.47 Hektar Bakal Dibangunkan

BPSDC berkata, kira-kira separuh daripada projek pembangunan semula Battersea Power Station kini telah siap, dan perancang reka bentuk bandar strategik Studio Egret West telah dilantik untuk mengemas kini pelan induk asal yang dirangka Rafael Viñoly lebih 15 tahun lalu.

 

Pelan induk baharu itu akan mengambil kira perubahan terhadap keperluan dan jangkaan berkaitan gaya hidup, riadah serta ruang kerja.

 

Permohonan perancangan bagi pelan induk yang disemak semula akan dikemukakan pada September ini, dengan visi untuk membangunkan baki 6.47 hektar daripada keseluruhan tapak Battersea Power Station seluas 17 hektar.

 

Fasa pembangunan seterusnya berpotensi menyediakan sehingga 3.2 juta kaki persegi ruang kediaman, komersial, kebudayaan dan riadah, sekali gus melengkapkan kawasan kejiranan tepi sungai yang kini mempunyai lebih 2,200 kediaman, kira-kira 800,000 kaki persegi ruang pejabat serta lebih 170 kedai, bar, restoran dan premis riadah.

 

Sejak transformasi bermula, Battersea Power Station telah berubah daripada bangunan terbiar yang hampir runtuh di kawasan perindustrian kepada kawasan kejiranan yang menjadi destinasi antarabangsa untuk kediaman, pekerjaan dan aktiviti riadah dengan lebih £5 bilion dilaburkan setakat ini oleh pemegang saham projek dari Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved