75% projek pembinaan yang bermasalah berpunca dari kelemahan pengurusan kontraktor

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 1:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

75% projek pembinaan yang bermasalah berpunca dari kelemahan pengurusan kontraktor Image from: 75% projek pembinaan yang bermasalah berpunca dari kelemahan pengurusan kontraktor liza18/08/2026 - 13:09 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Kelemahan pengurusan, masalah aliran tunai dan kawalan operasi yang tidak berkesan antara punca utama projek pembinaan di Malaysia mengalami kelewatan atau dikategorikan sebagai projek sakit.

 

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kira-kira 75% daripada projek berdepan masalah itu berpunca daripada kelemahan kontraktor sendiri dan hanya 25% disebabkan isu teknikal di tapak.

 

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan kemampuan kontraktor mengurus perniagaan sama penting dengan keupayaan teknikal bagi memastikan sesuatu projek dapat disiapkan mengikut jadual dan kos yang ditetapkan.

 

 

 

 

 

 

“Untuk bertahan dan berkembang, kontraktor perlu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, pengurusan yang baik serta keupayaan melaksanakan projek mengikut masa, kos dan standard yang ditetapkan,” katanya ketika Konvensyen Kontraktor Wilayah Utara CIDB 2026: NexGen Builders di Seberang Perai hari ini.

 

Keupayaan Kontraktor Perlu Seiring Pertumbuhan Industri

Ahmad berkata, kontraktor juga perlu mengelakkan amalan tidak sihat seperti syarikat proksi, pakatan tender dan konsep “Ali Baba”, khususnya apabila kontrak yang diperoleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak lain untuk dilaksanakan.

 

Katanya, keadaan itu tidak membantu membina keupayaan sebenar syarikat tempatan kerana kontraktor sepatutnya menggunakan peluang projek untuk memperkukuh pengalaman, tenaga kerja dan kemampuan melaksanakan kerja sendiri.

 

Beliau berkata perkara itu turut berkait dengan usaha meningkatkan penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek yang lebih besar, memandangkan kebanyakan mereka masih tertumpu pada gred kontraktor paling rendah.

 

Berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kontraktor Bumiputera membentuk 72% atau 47,064 daripada 65,446 kontraktor G1 di seluruh negara.

 

Namun, peratusan itu turun kepada 28% bagi gred G7 dengan hanya 3,097 daripada 10,837 kontraktor dalam gred tertinggi merupakan syarikat Bumiputera.

 

Pendigitalan Jadi Penentu Daya Saing

Justeru, Ahmad menggesa kontraktor supaya tidak sekadar mengejar projek baharu sebaliknya membina kapasiti untuk mengendalikan kerja yang lebih besar dan kompleks.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kos diesel melonjak 44%, bitumen 42% tekan margin kontraktor – MBAM, PKBM

 

Beliau berkata antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan kewangan, pembangunan tenaga kerja serta penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi.

 

“Penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling atau BIM) juga perlu dipercepatkan kerana teknologi digital menjadi sebahagian daripada cara projek pembinaan moden dirancang dan dilaksanakan.

 

“Beberapa negara termasuk China telah menggunakan BIM dalam kitaran projek mereka sejak lebih tujuh tahun lalu, menyebabkan kontraktor yang enggan berubah berisiko kehilangan daya saing.

 

“Kerajaan pula terus menyediakan ruang kepada industri melalui peruntukan pembangunan Persekutuan sebanyak RM90 bilion pada 2024, RM86 bilion pada 2025 dan sasaran RM81 bilion tahun ini,” katanya.

 

Kontraktor Perlu Bersedia Hadapi Persaingan

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata kontraktor juga perlu melihat peluang selepas projek pembinaan siap, termasuk dalam bidang pengurusan fasiliti.

 

Beliau berkata pengurusan fasiliti bukan lagi sekadar kerja penyelenggaraan, sebaliknya boleh menjadi cabang perniagaan baharu yang merangkumi pengurusan aset, operasi bangunan, teknologi, keselamatan dan kelestarian.

 

Sehubungan itu, beliau melancarkan CIS 33:2026, Panduan Amalan Baik Pengurusan Fasiliti (Facility Management Good Practice Guide), yang dibangunkan CIDB bagi menyediakan rujukan lebih seragam kepada industri.

 

Rekod CIDB menunjukkan sebanyak 1,541 projek pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti bernilai RM39.59 bilion direkodkan antara 2023 hingga 2025, dengan 468 kontraktor berdaftar dalam pengkhususan F01 dan F02.

 

 

 

 

 

 

Ahmad berkata Pulau Pinang turut menunjukkan potensi besar apabila ekonomi negeri itu berkembang 7.3% pada 2025, manakala sektor pembinaan meningkat 13.4%, sekali gus mengukuhkan keperluan terhadap kontraktor yang lebih cekap dan berdaya saing.

 

Konvensyen dua hari bersempena Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 itu menghimpunkan lebih 400 kontraktor, pemain industri, agensi kerajaan dan rakan strategik, dengan perbincangan turut meliputi Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030, Pelabuhan Darat Perlis, projek LRT Mutiara Pulau Pinang, pembangunan solar, pembinaan lestari dan pengurusan fasiliti. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved