Sektor pembinaan kembali pulih didorong RM14 bilion projek awam pada 2H26 - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor pembinaan kembali pulih didorong RM14 bilion projek awam pada 2H26 - MBSB Research Image from: Sektor pembinaan kembali pulih didorong RM14 bilion projek awam pada 2H26 - MBSB Research amree10/09/2026 - 11:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 SeptSektor pembinaan dijangka memasuki fasa pemulihan tempahan kerja pada separuh kedua 2026, didorong potensi RM14 bilion projek infrastruktur awam, menurut MBSB Research.

 

Ujarnya, pertumbuhan sektor berkenaan mengukuh dengan nilai kerja mencecah RM94.3 bilion pada separuh pertama, peningkatan kira-kira 8.7% dengan pertumbuhan positif 14 suku tahun berturut-turut.

 

Projek pusat data (DC) kekal antara pemacu utama sektor swasta apabila nilai kontrak pembinaan setakat tahun ini sudah mencapai RM15.58 bilion, iaitu 68.3% lebih tinggi berbanding keseluruhan 2025.

 

"Kami berpandangan Gamuda, Sunway Construction (SunCon) dan IJM Corporation menguasai kira-kira 87.8% daripada jumlah penganugerahan tender berkenaan," jelas MBSB Research dalam nota analisis.

 

Momentum diunjur berkembang dalam 2H26 dengan anggaran enam kemudahan DC berskala besar bernilai RM2 bilion setiap satu berpotensi dimuktamadkan dan saiz kontrak purata juga meningkat 16.5%.

 

Bagi projek awam, firma itu mengunjurkan RM14 bilion kontrak infrastruktur awam yang berpotensi sepanjang 2H26, termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM5 bilion.

 

Sehubungan itu, MBSB Research berkata, pembentangan Belanjawan 2027 akan menjadi tumpuan kerana berpotensi mempercepatkan perbelanjaan bagi projek rel, air, grid elektrik dan tebatan banjir.

 

sektor pembinaan_DagangNews2026

 

"Dari segi bahan binaan, harga purata besi bar meningkat 1.6% bulan ke bulan (MoM) kepada RM2,164 satu tan pada Ogos 2026, namun masih 8.3% lebih rendah daripada paras kemuncak Mei 2026," katanya.

 

Ia menjangkakan harga besi kekal dalam julat tertentu susulan permintaan domestik dan langkah perlindungan perdagangan, manakala lebihan dari China serta eksport boleh mengehadkan kenaikan.

 

Harga simen pukal pula susut 2% MoM kepada RM402 satu tan selepas kekal RM410 selama lapan bulan, dengan permintaan daripada projek berkaitan DC, pembangunan industri dan prasarana kekal sihat.

 

Dalam kalangan syarikat, MBSB Research melihat IJM sebagai antara calon utama memperoleh kontrak baharu pada 2H26, disokong tender bernilai RM18 bilion merangkumi projek industri dan awam.

 

"Kumpulan ini turut mempunyai pelan realisasi nilai RM3 bilion yang berpotensi menjana sekitar 28 sen dividen sesaham setahun, selain sasaran penyenaraian IJM Construction pada 3Q27," katanya.

 

SunCon pula meraih kontrak baharu RM6.85 bilion setakat ini, mengatasi sasaran asal RM6 bilion bagi FY26, dengan buku tender aktif RM15.3 bilion yang sebahagian besarnya terdiri kerja DC.

 

Sementara itu ujar MBSB Research, Gamuda kekal sebagai antara penerima manfaat utama ledakan DC dan projek infrastruktur secara berskala besar dengan pencapaian yang baik sejak awal tahun.

 

Secara keseluruhan, ia mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor pembinaan, disokong rekod penganugerahan kontrak DC dan prospek pemulihan projek infrastruktur awam sepanjang tahun ini.

 

"Kami memilih Gamuda ('beli', harga sasaran (TP) RM5.60), SunCon (beli, TP RM9.18) dan IJM (beli, TP RM3.32) kerana prospek kontrak baharu serta potensi dividen," katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved