Projek Kompleks Sukan Shah Alam capai 9.16 peratus - MBI Selangor

5 May 2026 • 12:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Projek Kompleks Sukan Shah Alam capai 9.16 peratus - MBI Selangor
Ilustrasi pembangunan KSSA yang turut menempatkan Stadium Shah Alam yang dijangka siap pada Mei 2029

SHAH ALAM - Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) kini mencapai kemajuan awal sebanyak 9.16 peratus meskipun perubahan fizikal di tapak masih belum ketara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Saipolyazan M Yusop berkata, setakat ini kerja-kerja dijalankan melibatkan fasa awalan sebagai persediaan sebelum pembinaan utama dimulakan.

"Memang di tapak nampak seperti tiada perubahan besar, tetapi sebenarnya kerja-kerja awalan sedang giat dilaksanakan termasuk pemasangan hoarding (pagar projek) serta kerja tanah seperti cut and fill (pemotongan dan penambakan) bagi menyediakan kawasan projek.

"Kemajuan semasa adalah 9.16 peratus dan ia bergerak mengikut perancangan yang telah ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) sempena Program Gagasan Rumpun Selangor 2026 di sini pada Selasa.

Saipolyazan berkata, fasa seterusnya akan bermula selepas pemeteraian kontrak muktamad bersama pihak pemaju termasuk kontrak perjanjian pembinaan projek pembangunan (DPCC).

"Selepas kontrak ditandatangani, kita akan teruskan dengan kerja-kerja pembinaan seterusnya," jelas beliau.

Beliau memberitahu, setakat ini projek itu berada di landasan asal tanpa sebarang kelewatan.

"Hampir keseluruhan jadual pelaksanaan KSSA ini mematuhi tempoh yang ditetapkan," tambah beliau.

Dalam perkembangan sama, Saipolyazan tidak menafikan wujud kebimbangan berkaitan potensi kenaikan kos, namun menegaskan tiada permohonan semakan harga dibuat setakat ini.

"Kita ada dengar ura-ura kos mungkin meningkat terutama melibatkan bahan binaan dan faktor seperti kenaikan harga diesel yang boleh memberi kesan rantaian kepada kos lain.

"Bagaimanapun, setakat ini kita masih kekal dengan nilai kontrak asal iaitu sebanyak RM2.94 bilion," jelas beliau.

Tambahnya, pihaknya berharap faktor luaran termasuk perkembangan geopolitik global tidak menjejaskan kelancaran projek berkenaan.

"Kita berharap segala perancangan berjalan lancar hingga KSSA siap sepenuhnya pada Mei 2029," jelas beliau.