liza19/11/2026 - 09:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov – JS Solar Holding Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, JS Solar Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM30 juta daripada NUR Power Ventures Sdn Bhd bagi melaksanakan projek pemasangan sistem solar fotovolta (PV) atas bumbung dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Menerusi kontrak di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim Kedah itu, JS Solar dilantik sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek berkenaan.
Projek itu menggabungkan pemasangan panel solar atas bumbung dengan sistem bateri yang membolehkan tenaga elektrik dijana daripada matahari disimpan untuk kegunaan kemudian.
Projek disasar mula operasi Julai 2027
JS Solar dalam satu kenyataan memaklumkan projek berkenaan menyasarkan tarikh operasi komersial (COD) pada 1 Julai 2027.
“Penggabungan kedua-dua teknologi itu turut memperluas penglibatan kumpulan dalam penyelesaian tenaga boleh baharu bersepadu, merangkumi penjanaan tenaga solar dan penyimpanan tenaga,” katanya.
Perkembangan kerjasama dengan NUR Group
Kontrak terbaharu itu merupakan perkembangan terbaharu kerjasama antara JS Solar dengan NUR Power Sdn Bhd iaitu syarikat induk NUR Power Ventures, serta anak syarikatnya yang secara kolektif dikenali sebagai NUR Group.
Pada Februari 2026, JS Solar dan NUR Power memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama strategik dalam projek tenaga boleh baharu solar atas bumbung.
Penganugerahan kontrak RM30 juta itu mencerminkan perkembangan hubungan kerjasama berkenaan ketika kedua-dua pihak meneroka peluang dalam sektor tenaga boleh baharu Malaysia.
Pengarah Urusan JS Solar, Johnson Chai Jeun Sian berkata, kumpulan itu berbesar hati dapat memperkukuh kerjasama dengan NUR Power menerusi projek berkenaan.
Menurutnya, integrasi sistem solar PV atas bumbung dan BESS mencerminkan keperluan projek tenaga boleh baharu yang semakin berkembang, selain memberi peluang kepada JS Solar memperluas keupayaan dalam kedua-dua teknologi tersebut.
Perluas keupayaan dalam sistem penyimpanan tenaga
Beliau berkata, keutamaan kumpulan ketika ini adalah memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan serta bekerjasama rapat dengan NUR Power bagi memastikan ia dapat disiapkan dengan lancer dan sempurna.
“JS Solar juga akan terus memberi tumpuan kepada peluang yang sesuai dengan memanfaatkan pengalaman dalam sistem solar PV, selain mengembangkan keupayaan dalam penyelesaian tenaga pelengkap seperti BESS,” katanya. - DagangNews.com






