liza18/11/2026 - 18:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov – CBH Engineering Holding Berhad (CBHB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, CBH Engineering Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM50.98 juta bagi melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) untuk sebuah projek solar fotovoltaik dengan kapasiti 99.99 megawatt arus ulang-alik (MWac) di Kelantan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata CBH Engineering menerima Surat Setuju Terima (LoA) bertarikh 1 September 2026 daripada sebuah syarikat yang identitinya dirahsiakan, pada 18 November 2026.
Kontrak itu merangkumi kerja-kerja bagi kemudahan sambungan loji solar, sistem penghubung loji solar serta kerja-kerja berkaitan.
“Skop kontrak meliputi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan bagi kemudahan serta sistem sambungan loji solar berkenaan.
“Tempoh kontrak bermula pada 4 September 2026 dan dijadualkan selesai pada 31 Ogos 2027. Nilai kontrak sebanyak RM50.98 juta itu termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya.
CBH Engineering merupakan syarikat yang menjalankan aktiviti sebagai kontraktor pendawaian elektrik serta pembekalan barangan elektrik.
Positif kepada pendapatan kumpulan
Dari segi kewangan, CBHB menjangkakan kontrak berkenaan memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan, perolehan sesaham (EPS) serta aset bersih sesaham sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Bagaimanapun, kontrak itu tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.
Lembaga Pengarah CBHB turut menyatakan bahawa kontrak berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa kumpulan dan adalah demi kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com






