HULU SELANGOR - Isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dijawab di Parlimen pada Rabu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau akan memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan pada persidangan Parlimen petang ini.
"Kalau mengenai isu LCS, ya, saya akan ke Parlimen hari ini untuk menjawabnya pada petang ini," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat pertahanan tempatan, High Point Worldwide Sdn Bhd di sini pada Rabu.
Pada Isnin, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mendapati projek LCS mengalami kelewatan sebanyak 7.55 peratus setakat 25 Jun, sekali gus menjejaskan penyerahan fizikal LCS 1.
Kelewatan itu berlaku ketika Sistem Pelancar NSM masih belum tersedia susulan pembatalan kekal permit eksport oleh kerajaan Norway.
Kementerian Pertahanan dalam maklum balas terhadap laporan berkenaan memaklumkan LCS 1 tidak dapat beroperasi pada keupayaan penuh tanpa sistem berkenaan dipasang.
Bagaimanapun, kementerian itu boleh mempertimbangkan penyerahan bersyarat, manakala kontraktor masih terikat secara kontrak untuk memasang dan mengintegrasikan sistem berkenaan.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, kelewatan antara 30 hingga 108 hari boleh menjejaskan tarikh penyerahan paling awal yang dijadualkan pada 26 Ogos atau sasaran semakan pada 26 Disember.
Menurutnya, LCS 1 tidak akan mencapai keupayaan penuh sekiranya diserahkan sebelum latihan dan sistem persenjataan diselesaikan.
Kelewatan penyerahan kapal pertama itu turut memberi kesan kepada jadual penyerahan LCS 2 hingga LCS 5.





