SD Guthrie berpotensi jana pendapatan sederhana jangka pendek daripada sewaan tanah, inisiatif solar - penganalisis

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2025 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SD Guthrie berpotensi jana pendapatan sederhana jangka pendek daripada sewaan tanah, inisiatif solar - penganalisis

image is not available

21/08/2025 - 12:49

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - SD Guthrie Berhad berpotensi menjana pendapatan sederhana bagi jangka pendek daripada dua aliran pendapatan iaitu penyewaan tanah dan inisiatif solarnya, kata penganalisis.

Kumpulan itu bekerjasama dengan Gamuda Berhad di bawah perjanjian kerjasama untuk membangunkan, memiliki, dan mengendalikan projek tenaga solar, termasuk sistem penyimpanan tenaga, dengan kapasiti sasaran gabungan sebanyak 1.2 gigawatt (GW).

CIMB Securities berkata, inisiatif itu sejajar dengan strategi SD Guthrie, di mana tenaga boleh diperbaharui (RE) dikenal pasti sebagai antara pemacu pertumbuhan baharunya.

"Usahasama ini menawarkan aliran pendapatan yang mampan sambil menyokong sasaran kumpulan untuk mencapai pelepasan bersih sifar.

"SD Guthrie sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk memiliki sehingga 1 GW aset RE," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu positif terhadap kerjasama itu dan berpandangan, kepakaran Gamuda dalam segmen RE akan membantu menangani kebimbangan mengenai pengalaman terhad SD Guthrie dalam pembangunan projek tenaga solar berskala besar.

"Dengan anggapan perkongsian ekuiti 51:49, bahagian ekuiti SD Guthrie sebanyak 51% dalam aset tenaga solar 1.2 GW adalah kira-kira RM367 juta, berdasarkan jumlah kos projek RM3.6 bilion yang dibiayai dengan nisbah hutang-ke-ekuiti 80:20," katanya.

Sementara itu, RHB Research berkata, aset-aset itu mungkin mengambil masa lima tahun atau lebih untuk dibina, tetapi pembangunan secara berperingkat bermakna sumbangan pendapatan boleh bermula seawal 2028–2029.

"Kami difahamkan, bagi setiap projek solar, SDG mungkin meiliki pegangan berbeza. Berdasarkan kiraan kasar kami, pendapatan tahunan daripada projek solar 1.2 GW boleh mencecah antara RM200 juta hingga RM250 juta setahun, bergantung pada tarif.

"Projek-projek ini juga akan menambah kepada projek solar sedia ada SD Guthrie di Kedah, di mana mereka akan mula mengendalikan loji solar 15-megawatt di bawah Program Tenaga Hijau Korporat di Bukit Selarong pada suku keempat 2025," katanya.

CIMB Securities dan RHB mengekalkan saranan "beli" ke atas SD Guthrie, dengan CIMB menetapkan harga sasaran (TP) RM5.15 manakala RHB Research pada RM6.10. - DagangNews.com

standard