sarah17/11/2026 - 17:37 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Keuntungan bersih MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) menyusut 6.4% kepada RM127.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), meskipun hasil meningkat 4.8% kepada RM1.26 bilion, susulan perubahan campuran produk dan peningkatan pelaburan dalam pengembangan rangkaian kedai serta operasi.
Menurut kenyataan syarikat, hasil bagi suku berkenaan meningkat daripada RM1.20 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, walaupun perbelanjaan pengguna lebih berhati-hati ketika suku tahun tanpa musim perayaan.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, hasil kumpulan meningkat 5.9% kepada RM3.89 bilion daripada RM3.67 bilion, disokong pertambahan jumlah transaksi pelanggan sebanyak 8.8% kepada 158.7 juta.
Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai bagi tempoh sembilan bulan itu merosot 3.2% kepada RM453.8 juta berbanding RM468.8 juta sebelumnya apabila peningkatan kos operasi mengatasi pertumbuhan hasil.
Kos operasi meningkat
MR DIY berkata, peningkatan kos itu termasuk cukai jualan dan perkhidmatan ke atas perbelanjaan sewaan, susut nilai aset automasi serta pelaburan pemasaran bagi aplikasi kesetiaan pelanggan MR DIY Club yang dilancarkan pada Julai lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, aplikasi tersebut telah menarik lebih 1.2 juta pelanggan berdaftar sejak diperkenalkan, mencerminkan sambutan terhadap jenama dan manfaat program kesetiaan syarikat.
“Kami terus memperkenalkan konsep baharu, memperbaharui rangkaian produk dan mewujudkan pengalaman membeli-belah yang menarik kepada pelanggan. Kami kekal memberi tumpuan kepada pertumbuhan berdisiplin, pengurusan modal berhemat dan peningkatan kecekapan operasi,” katanya.
Dividen RM123.2 juta diumumkan
Dalam perkembangan berkaitan, MR DIY mengisytiharkan dividen interim berjumlah RM123.2 juta bagi suku ketiga, bersamaan 96.7% daripada keuntungan selepas cukai suku berkenaan, menjadikan keseluruhan dividen yang diumumkan bagi sembilan bulan pertama 2026 sebanyak RM587.6 juta.
Jumlah dividen sembilan bulan itu bersamaan 129.5% daripada keuntungan selepas cukai bagi tempoh sama, yang menurut syarikat mencerminkan keyakinan pengurusan terhadap kekuatan kewangan jangka panjang serta komitmen memberikan pulangan kepada pemegang saham.
Setakat akhir September 2026, rangkaian MR DIY berkembang 7.4% kepada 1,641 kedai di Malaysia dan Brunei berbanding 1,528 kedai setahun sebelumnya, manakala keuntungan kasar sembilan bulan meningkat 5.6% kepada RM1.85 bilion dengan margin kekal stabil pada 47.5%.- DagangNews.com






