Prospek Cahya Mata Sarawak pada FY27 disokong peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM10.1 bilion – MBSB Research

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 11:13 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek Cahya Mata Sarawak pada FY27 disokong peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM10.1 bilion – MBSB Research Image from: Prospek Cahya Mata Sarawak pada FY27 disokong peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM10.1 bilion – MBSB Research liza25/11/2026 - 11:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov – Prospek Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB) pada tahun kewangan 2027 (FY27) dijangka mendapat sokongan daripada peruntukan pembangunan Sarawak berjumlah RM10.1 bilion selain pelaksanaan projek infrastruktur utama yang dijangka meningkatkan permintaan terhadap simen dan bahan binaan di negeri itu.

 

MBSB Research berkata peruntukan berkenaan meningkat 9% berbanding peruntukan awal 2026 yang  dijangka menyokong aliran permintaan terhadap produk simen dan bahan pembinaan CMSB.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kedudukan CMSB sebagai satu-satunya pengeluar simen di Sarawak serta pembekal utama bahan binaan meletakkan kumpulan berkenaan dalam kedudukan untuk mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti pembangunan dan pembinaan di negeri itu.

 

“Selain itu, operasi komersial Mambong Clinker Line 2 yang dijadualkan bermula pada suku kedua tahun kalendar 2027 (2QCY27) dijangka menyokong perkembangan bahagian simen kumpulan.

 

“Kami juga menjangkakan kemajuan pembinaan projek Borneo Convention Centre Kuching 2 (BCCK2) bernilai RM550 juta terus menyumbang kepada pendapatan bahagian hartanah pada suku keempat FY26. Projek itu dijadualkan siap menjelang Mac 2028,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Kerugian fosfat terus menekan keuntungan

Bagaimanapun, prestasi jangka pendek CMSB masih berdepan tekanan daripada bahagian fosfat yang dijangka kekal dalam peringkat pentauliahan sehingga suku keempat FY26.

 

MBSB Research berkata, ujian prestasi loji fosfat yang dijadualkan pada Disember 2026 menjadi perkembangan penting untuk diperhatikan selepas kos lebih tinggi susulan operasi semula loji serta pelarasan penurunan nilai inventori menjejaskan keputusan suku ketiga.

 

Bagi 3QFY26, kerugian sebelum cukai bahagian fosfat melebar kepada RM40.9 juta berbanding RM23.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus menjadi antara faktor utama yang menekan keuntungan kumpulan.

 

Keuntungan bersih teras susut 69.9%

Dari segi prestasi kewangan, keuntungan bersih teras CMSB merosot 69.9% kepada RM10.2 juta bagi 3QFY26 berbanding RM33.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya, meskipun hasil meningkat 11.9% kepada RM341.8 juta.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama FY26, keuntungan bersih teras susut 33% kepada RM57.3 juta berbanding RM85.6 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 14.3% kepada RM912.2 juta.

 

MBSB Research berkata, keputusan berkenaan berada di bawah jangkaannya dan konsensus pasaran, masing-masing merangkumi 58% dan 51.2% daripada anggaran keuntungan bersih teras setahun penuh.

 

Bagaimanapun, bahagian simen terus menjadi penyumbang keuntungan terbesar kumpulan apabila hasilnya meningkat 9.2% kepada RM197.9 juta pada 3QFY26, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 1.3% kepada RM47.4 juta.

 

Bagi sembilan bulan pertama FY26, hasil bahagian simen meningkat 12.1% kepada RM527.3 juta, sementara PBT bertambah 10.6% kepada RM127.8 juta, disokong peningkatan jumlah jualan konkrit serta pelarasan harga simen.

 

Harga sasaran diturunkan kepada 85 sen

Susulan kerugian bahagian fosfat yang lebih tinggi daripada jangkaan, MBSB Research mengurangkan unjuran pendapatan CMSB bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 19.7% dan 18.5%.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap saham CMSB, namun menurunkan harga sasaran kepada RM0.85 daripada RM1.04 sebelum ini, berdasarkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 9.4 sen dan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 9 kali. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved