TA Research jangka kontrak infrastruktur Sarawak meningkat selepas PRN, Ibraco berpeluang raih projek RM52.4 bilion

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 11:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Research jangka kontrak infrastruktur Sarawak meningkat selepas PRN, Ibraco berpeluang raih projek RM52.4 bilion Image from: TA Research jangka kontrak infrastruktur Sarawak meningkat selepas PRN, Ibraco berpeluang raih projek RM52.4 bilion liza23/11/2026 - 11:47 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov – Ibraco Berhad dijangka mendapat peluang meraih kontrak baharu menerusi projek infrastruktur Sarawak bernilai RM52.4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan pemberian projek dijangka meningkat selepas pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada Disember 2026, menurut TA Research.

 

Daripada keseluruhan peruntukan projek infrastruktur itu, sebanyak RM25.8 bilion membabitkan projek yang sedang dalam persediaan tender yang menyediakan peluang kepada Ibraco untuk mengembangkan segmen pembinaannya.

 

TA Research berkata, Ibraco mempunyai kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada peluang berkenaan berdasarkan rekod penglibatannya dalam projek Sistem Transit Aliran Autonomi (ART), jalan raya, jambatan dan bangunan kerajaan di Sarawak.

 

“Selain itu, perancangan pembangunan infrastruktur bekalan air negeri itu turut dijangka memberi manfaat kepada perniagaan pembinaan serta pembuatan paip keluli bersalut mortar simen (MSCL) Kumpulan,” kata TA Research dalam nota kajiannya.

 

Kelewatan projek KUTS jejaskan hasil pembinaan

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan Ibraco dalam tempoh terdekat masih berdepan cabaran susulan kelembapan penggantian kontrak baharu, yang dijangka menyebabkan pendapatan segmen pembinaan lebih sederhana pada tahun kewangan 2027 dan 2028.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), Ibraco mencatatkan keuntungan bersih teras RM43 juta, bersamaan 74% daripada unjuran keuntungan setahun penuh TA Research.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Segmen pembinaan pacu keuntungan RM15.3 juta Ibraco, hasil suku ketiga naik 6.6%

 

Keuntungan bersih teras itu hampir tidak berubah, meningkat 0.2% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya selepas mengecualikan pendapatan pampasan tanah yang diiktiraf dalam 9MFY25.

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan susut 6.8% kepada RM540.1 juta berbanding RM579.3 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan penurunan hasil pembinaan kepada RM254.4 juta daripada RM317.5 juta susulan kelewatan pengesahan kerja bagi projek Laluan Biru Sistem Transit Aliran Autonomi Kuching (KUTS).

 

Unjuran keuntungan 2027 dan 2028 disemak turun

Susulan jangkaan penggantian kontrak yang lebih perlahan daripada jangkaan, TA Research menyemak turun unjuran keuntungan Ibraco bagi tahun kewangan 2027 dan 2028 masing-masing sebanyak 11.3% dan 29.4%.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan unjuran keuntungan bagi FY2026, dengan keuntungan teras diunjurkan sebanyak RM58 juta sebelum menurun kepada RM56 juta pada FY2027 dan RM50 juta pada FY2028.

 

TA Research menjangkakan pemberian kontrak baharu akan meningkat selepas PRN Sarawak pada Disember 2026, sekali gus membantu menyokong pemulihan pendapatan kumpulan dalam tempoh akan datang.

 

Dalam segmen hartanah pula, pelancaran terbaharu NorthBank Business Exchange bersama pembangunan berterusan The NorthBank, Arden City dan Residensi NewUrban dijangka terus menyokong jualan hartanah kumpulan.

 

TA Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham Ibraco, namun menurunkan harga sasaran kepada RM1.30 sesaham daripada RM1.52 sebelum ini berikutan semakan unjuran keuntungan dan pengurangan gandaan penilaian segmen pembinaan kepada 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi tahun kalendar 2027 daripada 12 kali. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved