Prospek Kelington terus positif disokong bidaan 33 projek bernilai RM12 bilion di 10 lokasi – RHB Research

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 9:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek Kelington terus positif disokong bidaan 33 projek bernilai RM12 bilion di 10 lokasi – RHB Research Image from: Prospek Kelington terus positif disokong bidaan 33 projek bernilai RM12 bilion di 10 lokasi – RHB Research liza25/11/2026 - 09:24 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov – Kelington Group Berhad sedang membida 33 projek bernilai keseluruhan RM12 bilion merentasi 10 pasaran bagi 2027 yang membuka ruang kepada kumpulan kejuruteraan itu untuk meneruskan pertumbuhan perniagaan disokong permintaan daripada industri semikonduktor dan infrastruktur perindustrian.

 

Menurut RHB Research, peluang projek berkenaan mencerminkan saluran perniagaan yang masih besar, ketika Kelington mempunyai buku tempahan bernilai RM4.49 bilion setakat suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY2026).

 

“Malah, kumpulan itu menyasarkan untuk memperoleh kontrak tambahan bernilai antara RM1 bilion hingga RM1.5 bilion sebelum berakhirnya 2026 dengan sebahagian daripadanya dijangka dibawa ke tahun kewangan berikutnya.

 

“Perkembangan itu disokong kejayaan Kelington memperoleh kontrak baharu bernilai RM4.5 bilion secara kumulatif, termasuk kira-kira RM3 bilion yang diperoleh pada 3QFY2026 sahaja.

 

“Kontrak pada suku berkenaan sebahagian besarnya datang daripada projek perkhidmatan kejuruteraan termaju (AES) di India serta projek infrastruktur perindustrian termaju (AII) di Sarawak,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Daripada keseluruhan buku tempahan RM4.49 bilion, projek AES merangkumi 83% dengan India menyumbang sedikit melebihi separuh daripada tempahan segmen itu, diikuti Singapura sebanyak 16%.

 

Di Singapura, Kelington sedang melaksanakan kerja pembinaan infrastruktur asas  untuk sebuah syarikat memori cip berpangkalan di Amerika Syarikat manakala nilai keseluruhan tender yang sedang dibida kumpulan itu mencecah RM7.8 bilion setakat 30 September 2026.

 

Keuntungan teras catat prestasi tertinggi suku tahunan

Dari sudut kewangan, Kelington merekodkan keuntungan teras sebanyak RM55.9 juta pada 3QFY2026, meningkat 30.1% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus mencatatkan paras tertinggi bagi satu suku tahunan.

 

Hasil kumpulan turut meningkat 40.4% kepada RM444.2 juta, manakala keuntungan bersih naik 38% kepada RM56.6 juta berbanding RM41.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kelington catat PAT RM128.3 juta, buku tempahan tertinggi dalam sejarah RM4.49 bilion

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, hasil meningkat 22% kepada RM1.06 bilion, manakala keuntungan teras bertambah 24% kepada RM126.8 juta berbanding RM101.9 juta sebelumnya.

 

RHB Research menyifatkan prestasi itu menepati jangkaannya, dengan sumbangan hasil lebih tinggi dijangka berterusan pada suku keempat 2026 berdasarkan corak bermusim perniagaan kumpulan.

 

Sekatan cip AS tidak jejas operasi Kelington

Dalam perkembangan berkaitan industri teknologi, pihak pengurusan Kelington menjelaskan sekatan terbaharu Amerika Syarikat terhadap cip termaju tidak memberi kesan kepada operasi kumpulan itu.

 

Ini kerana penglibatan Kelington lebih tertumpu kepada pembinaan infrastruktur, bukannya aktiviti pengeluaran cip, manakala pendedahan kepada projek berkaitan pusat data adalah minimum, iaitu kurang 5%.

 

RHB Research turut mengekalkan unjuran kewangannya terhadap kumpulan itu, dengan menjangkakan keuntungan bersih berulang meningkat kepada RM200 juta pada FY2026 sebelum berkembang kepada RM278 juta pada FY2027.

 

RHB Research kekalkan saranan BELI

Bagaimanapun, RHB Research menurunkan harga sasaran saham Kelington kepada RM9.90 daripada RM11.70, namun mengekalkan saranan BELI berikutan prospek pertumbuhan keuntungan dan pendedahan kumpulan kepada pengembangan kapasiti pembuatan wafer semikonduktor.

 

Harga sasaran baharu itu mengambil kira diskaun penilaian 10% susulan kebimbangan terhadap penelitian semula Amerika Syarikat terhadap rantaian bekalan teknologi.

 

Pada harga saham RM7.07 ketika ini, harga sasaran RM9.90 tersebut menunjukkan potensi kenaikan kira-kira 40%, tidak termasuk anggaran hasil dividen sekitar 3% bagi FY2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved