Tolak kebimbangan rasuah, prospek pertumbuhan Sunway Construction kekal kukuh - Maybank IB

LocalBusiness & Finance
22 Jul 2025 • 2:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tolak kebimbangan rasuah, prospek pertumbuhan Sunway Construction kekal kukuh - Maybank IB

image is not available

22/07/2025 - 14:49

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Sunway Construction Group Bhd bertindak pantas meyakinkan pelabur dan pelanggan dengan menolak kebimbangan terhadap prospek jangka panjang syarikat susulan penahanan seorang kakitangan mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung urusan melibatkan subkontraktor.

Dalam taklimat pelabur yang diketuai Pengarah Urusan Kumpulan, Liew Kok Wing, kumpulan itu dengan tegas menolak kebimbangan terhadap integriti operasi dan prospek masa depannya.

Syarikat itu menjelaskan, kes tersebut hanya melibatkan seorang pengurus kontrak dan beberapa subkontraktor — bukan syarikat itu sendiri.

Sunway Construction menegaskan, insiden itu adalah terpencil dan syarikat sedang memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, menurut nota kajian Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Kumpulan itu mengesahkan, kakitangan terbabit telah digantung tugas dan akan ditamatkan perkhidmatannya selepas tempoh reman.

Sunway Construction turut melaporkan, mereka telah berkomunikasi secara aktif dengan pelanggan untuk menjelaskan situasi tersebut. Setakat ini, maklum balas yang diterima adalah positif dan menyokong, dan kumpulan tidak menjangkakan sebarang gangguan terhadap projek-projek yang sedang berjalan, menurut Maybank IB.

Bagi mengukuhkan keyakinan pelabur, Sunway Construction menekankan, syarikat telah memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) hanya dua bulan lalu.

Katanya, pensijilan tersebut telah diaudit oleh SIRIM dan pihak luaran, sekali gus mengukuhkan kredibiliti tadbir urus kumpulan.

Sunway Construction mengesahkan semua tender subkontraktor dijalankan secara elektronik dan dianugerahkan secara ketat berdasarkan tawaran terendah daripada syarikat tempatan.

“Sunway Construction percaya prosedur operasi standard (SOP) yang digunapakai adalah kukuh dan kes yang disebut hanya melibatkan seorang pekerja sahaja.

"Syarikat itu mendedahkan tender subkontraktor dijalankan secara elektronik dan hanya dianugerahkan kepada syarikat tempatan yang menawarkan bidaan paling rendah,” katanya.

Walaupun mengakui kemungkinan terdapat sedikit kesan terhadap reputasi, Sunway Construction percaya prospek jangka panjang kekal kukuh.

“Syarikat tidak menjangkakan projek-projek sedia ada akan terjejas. Sunway Construction menyatakan, pelanggannya telah menerima penjelasan yang diberikan. Berdasarkan penjelasan yang diberikan, kami percaya tidak akan terdapat terlalu banyak kesan negatif dalam jangka masa panjang selepas kes ini diselesaikan, walaupun mungkin terdapat gangguan jangka pendek,” kata Maybank IB.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas Sunway Construction, dengan harga sasaran sebanyak RM6.72 sesaham.- DagangNews.com

standard