Prospek pertumbuhan KPJ kekal positif didorong usaha peningkatan kapasiti katil, kata PublicInvest

30/05/2025 - 09:37
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 30 Mei - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) kekal positif terhadap prospek pertumbuhan KPJ Healthcare Berhad disokong sasaran kumpulan untuk meningkatkan kapasiti katil daripada 3,895 kepada 6,000 menjelang 2026.
Katanya, inisiatif strategik kumpulan bagi mengoptimumkan aset yang kurang berprestasi selain meningkatkan kecekapan operasi teras dijangka menyokong momentum pendapatan berterusan.
Firma itu berkata, ia juga akan mendorong pengembangan margin melalui pengurusan kos yang lebih baik.
"Selain itu, faktor-faktor struktur seperti pertambahan warga emas dan pertumbuhan golongan berpendapatan sederhana dijangka terus merangsang permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus serta aksesibiliti yang lebih baik, sekali gus menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjang KPJ," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu peningkatan peningkatan hasil sebanyak 7% kepada RM971.8 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2025 (1QFY25) berbanding RM908 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Peningkatan itu disumbangkan oleh jumlah pesakit yang lebih tinggi dan kapasiti katil yang meningkat di rangkaian hospitalnya.
ARTIKEL BERKAITAN: KPJ Healthcare catat peningkatan hasil 7% kepada hampir RM1 bilion pada Q1 FY2025
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 4% kepada RM211.3 juta. Ini mencerminkan margin operasi yang lebih kukuh, tumpuan operasi yang berterusan dan penyampaian perkhidmatan yang cekap dengan peningkatan lawatan pesakit.
Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik daripada operasi berterusan meningkat sebanyak 11% kepada RM57.1 juta, dipacu oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan pesakit dan pengurusan kewangan yang berhemah.
PublicInvest berkata, selepas mengecualikan item bukan operasi, keuntungan bersih teras KPJ bagi suku tersebut meningkat sebanyak 4.5% kepada RM63 juta bagi 1QFY25.
Namun begitu, mereka mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY25 hingga FY27F (dengan pelarasan kecil dari segi perakaunan), berdasarkan jangkaan terhadap pemulihan jumlah pesakit pada separuh kedua FY25.
"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM2.66 sesaham," katanya. - DagangNews.com
featured standard

