Prospek sektor semikonduktor negara diramal terus suram, persaingan serantau meningkat – penganalisis

28/07/2025 - 14:51
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 28 Julai – Pemain industri semikonduktor tempatan diramal terus berdepan cabaran dalam tempoh terdekat susulan ketidaktentuan dasar perdagangan, gangguan rantaian bekalan serta turun naik mata wang yang terus menekan unjuran sektor, menurut penganalisis.
Ketua Pegawai Eksekutif Fortress Capital Asset Management Sdn Bhd, Thomas Yong berkata, industri itu bakal melalui tempoh pemulihan yang perlahan dan tidak sekata sekurang-kurangnya untuk enam hingga sembilan bulan akan datang.
“Permintaan dalam segmen berkaitan elektronik pengguna kekal perlahan manakala prestasi kewangan suku kedua dijangka tidak banyak berubah berbanding suku sebelumnya,” katanya, lapor StarBiz.
Beliau berkata, permintaan dalam pasaran cip kini terbahagi dua dengan pasaran berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data terus mencatat pertumbuhan ketara, berbanding segmen elektronik pengguna seperti telefon pintar dan komputer yang masih perlahan.
“Pemain tempatan perlu menyesuaikan strategi perbelanjaan modal dengan memodenkan perniagaan sedia ada, sambil melabur dalam teknologi masa depan seperti pembungkusan cip lanjutan (advanced packaging), 2.5D dan 3D, serta integrasi sistem-in-pakej.
“Langkah itu penting bagi membolehkan syarikat menembusi pasaran bernilai tinggi dan berdaya saing, khususnya daripada pengeluar cip AI global,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui syarikat tempatan kini berdepan tekanan margin ketara akibat peningkatan kos operasi, tarif elektrik lebih tinggi, dan perang bakat dalam kalangan tenaga kerja mahir.
Turut memburukkan keadaan ialah pengukuhan ringgit berbanding dolar AS yang menjejaskan keuntungan syarikat berorientasikan eksport.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata, ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) kekal menjadi risiko terbesar kepada pertumbuhan sektor semikonduktor negara.
Beliau turut mengulas prestasi lemah ViTrox Corp Bhd yang menyebabkan sahamnya diturunkan taraf oleh beberapa penganalisis minggu lalu, dengan cadangan “jual” kini melebihi “beli” dan “tahan”.
Hong Leong Investment Bank Research dalam nota kajiannya pula mengekalkan harga sasaran RM2.65, namun menurunkan penarafan kepada “jual” berikutan kebimbangan terhadap margin, isu kadar tukaran asing serta kekurangan komponen.
Mohd Sedek berkata, walaupun sebahagian risiko telah diambil kira dalam penilaian pasaran, masih banyak cabaran belum disedari sepenuhnya oleh pelabur.
“Antaranya termasuk cadangan perundangan baharu seperti One Big Beautiful Bill Act yang bakal meningkatkan beban pematuhan bagi syarikat semikonduktor, serta siasatan Seksyen 232 AS yang boleh membawa kepada sekatan perdagangan dan tarif baharu,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap sekatan terhadap bahan mentah kritikal seperti nadir bumi dari China, Indonesia dan Vietnam yang merupakan sumber utama industri semikonduktor Malaysia.
Mohd Sedek berkata, Malaysia kini menguasai kira-kira 13% pasaran global pembungkusan cip namun berdepan tekanan daripada negara serantau seperti Vietnam, India dan Thailand yang tampil dengan strategi pengembangan agresif dan insentif pelaburan menarik.
Perkara itu turut dipersetujui Thomas Yong yang memberi amaran kelebihan strategik Malaysia semakin terhakis sekiranya tiada tindakan tegas diambil.
“Vietnam dan Thailand kini giat menarik pelaburan asing dalam bidang cip dengan dasar dan insentif kompetitif. Malaysia tidak boleh selesa,” tegas beliau.
Dalam unjuran terkininya, Fortress Capital menjangkakan penyusutan pendapatan sektor semikonduktor Malaysia sekitar 2.7% bagi tahun 2025, dipacu kelembapan permintaan dan cabaran dasar.
Bagaimanapun, kedua-dua penganalisis itu berpandangan potensi jangka panjang sektor ini masih menarik dengan pemulihan dijangka lebih menyeluruh menjelang 2026.
Yong berkata peralihan global terhadap strategi “China+1” dan “friend-shoring” memberi peluang besar kepada Malaysia, yang memiliki ekosistem mantap, tenaga kerja mahir dan kedudukan geopolitik yang neutral.
Beliau menambah, walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung dalam reka bentuk cip AI, negara ini mampu meraih manfaat daripada aktiviti hiliran seperti pembungkusan lanjutan, ujian kompleks dan pengeluaran peralatan automasi.
Mohd Sedek pula percaya pemacu struktur seperti pendigitalan, penggunaan AI, 5G dan pengembangan pusat data akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.
“Fokus pelaburan kini perlu tertumpu kepada syarikat dengan pendedahan kukuh dalam segmen berpotensi tinggi dan mempunyai strategi lindung nilai tukaran asing yang baik,” katanya.
Tambah beliau, pelabur juga boleh mempelbagaikan pegangan dengan menyertakan sektor defensif selain mengekalkan pandangan strategik jangka panjang terhadap megatrend teknologi global. - DagangNews.com
standard

