CTPR Masterclass 2025 terima permintaan serantau menggalakkan, tawar dua kohort tahun ini - MCMC

LocalTechnology
28 Jul 2025 • 3:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CTPR Masterclass 2025 terima permintaan serantau menggalakkan, tawar dua kohort tahun ini - MCMC

image is not available

28/07/2025 - 15:45

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai – Program latihan dasar dan peraturan telekomunikasi serantau, Converged Telecommunications Policy and Regulations (CTPR) Masterclass 2025 kini kembali dengan dua kumpulan peserta bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Program yang kini memasuki edisi kesembilan itu bakal berlangsung dalam dua sesi berasingan iaitu Kumpulan 1 pada 28 Julai hingga 1 Ogos 2025, diikuti Kumpulan 2 pada 6 hingga 10 Oktober 2025.

CTPR Masterclass dianjurkan secara bersama oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Universiti Multimedia dan Global System for Mobile Communications Association (GSMA) dengan sokongan MMU Cnergy untuk terus berperanan sebagai platform strategik dalam memperkukuh kapasiti dasar serta peraturan digital dalam kalangan pengawal selia, penggubal dasar, akademik dan pemain industri.

Bertemakan “Era Kesalinghubungan Pintar: 5G, AI, Keselamatan & Kelestarian”, edisi tahun ini memberi tumpuan kepada teknologi masa depan dan keperluan pendekatan dasar yang lebih menyeluruh.

MCMC memaklumkan, topik utama termasuklah tadbir urus kecerdasan buatan (AI), pembangunan Open RAN, teknologi 6G dan satelit, pengurusan spektrum, keselamatan siber, serta aspek kelestarian dalam pembangunan digital.

“Para peserta akan mendapat pendedahan melalui sesi bimbingan pakar, perbincangan panel serta lawatan industri bagi mendalami cabaran dan penyelesaian dalam ekosistem digital masa kini.

“CTPR Masterclass turut diiktiraf secara profesional dengan pemberian mata pembangunan profesional berterusan (CPD) oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), selain berpotensi diberi pemindahan kredit sehingga 30% melalui APEL(C) ke program Sarjana CTPR di MMU,” kata MCMC.

Sejak dilancarkan pada 2015, program ini telah memberi manfaat kepada lebih 300 profesional dan kini diiktiraf sebagai forum serantau penting yang menjembatani dasar, inovasi dan kerjasama merentas sempadan.

Beberapa peserta terdahulu juga mengakui program itu memberi peluang kepada mereka untuk memahami isu-isu baharu dan perkongsian ekosistem digital yang sentiasa berubah.

Sementara itu, Naib Canselor Telkom University, Indonesia, Prof. Dr. Adiwijaya berkata, penganjuran Masterclass dapat membantunya melihat dasar bukan sebagai halangan, tetapi sebagai jambatan antara inovasi dan kepentingan awam.

Peserta Nepal Telecom, Narrendra Man Singh Maharjan pula berkata, suasana pembelajaran yang inklusif dan pelbagai menjadikan pengalamannya mengikuti program ini lebih dinamik dan bermakna. - DagangNews.com

standard