Proton Exora Rempuh Belakang Lori 20 Tan, 3 Sekeluarga Maut

LocalCars
8 Oct 2026 • 7:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Proton Exora Rempuh Belakang Lori 20 Tan, 3 Sekeluarga Maut

TANJONG KARANG - Tiga sekeluarga termasuk dua kanak-kanak maut, manakala seorang lagi kanak-kanak cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah lori seberat 20 tan di Jalan Raja Muda Musa di sini, hari ini.

Mangsa yang maut ialah seorang wanita berusia 44 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengalami kecederaan di kepala.

Nahas berkenaan berlaku kira-kira jam 1.30 petang, ketika Proton Exora tersebut dalam perjalanan menuju ke Tanjong Karang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.37 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

“Komander Operasi melaporkan empat mangsa terperangkap di dalam kenderaan sebelum anggota bomba menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mereka.

“Bagaimanapun, tiga mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya hari ini.

Ashrul Riezal berkata, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang terbabit dalam operasi berkenaan.

Mayat semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Getaran, 8 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved