haziq29/12/2025 - 16:16 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Dis – Proton terus menjadi pemacu pembangunan bakat tempatan apabila Cabaran Kajian Kes Perniagaan Proton 2025 melabuhkan tirai dengan penganjuran peringkat akhir di Putrajaya, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik syarikat itu dengan universiti di seluruh negara.
Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata edisi kedua pertandingan itu menyaksikan pasukan WOLC dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan sebagai juara, menewaskan 41 pasukan lain daripada 25 universiti awam dan swasta yang mewakili enam wilayah di seluruh Malaysia.
Menurut Proton, pertandingan yang bermula pada 14 November itu mencabar peserta mengemukakan idea strategik bagaimana pengeluar kereta nasional berkenaan boleh menerajui peralihan Malaysia daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik (EV) sambil kekal berdaya saing dalam kedua-dua segmen.
Inisiatif itu, katanya, selari dengan hala tuju Proton dalam mendepani landskap automotif yang semakin berkembang, di samping menyokong usaha Bahagian Modal Insan dan Pentadbiran (HCA) untuk mengenal pasti serta menarik bakat muda berpotensi tinggi bagi menyokong keperluan masa depan syarikat.
“Melalui pertandingan ini, sebanyak 30 tawaran bersyarat telah diberikan kepada peserta di bawah program Bakat Muda Proton (PYT), sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami membangunkan barisan bakat masa depan Proton,” menurut kenyataan itu.
Bagi pertandingan tahun ini, pasukan ANOVA dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) muncul naib juara dengan hadiah wang tunai RM5,000, manakala pasukan SAA UMK dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM3,000.
Juara pula menerima hadiah wang tunai RM8,000.
Sementara itu, Phibert Goh Jie Hao dari UNIMAS dipilih sebagai Penyampai Individu Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Peringkat akhir pertandingan itu dinilai oleh barisan kepimpinan Proton dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Rashid Musa.
Pasukan finalis mewakili enam wilayah negara terdiri daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut Proton, Cabaran Kajian Kes Perniagaan Proton bermula pada 2023 menerusi pertandingan perniagaan pertama dengan kerjasama Persatuan Pelajar Malaysia di Beijing (AMSIB), sebelum diperluaskan ke peringkat kebangsaan pada 2024 yang dimenangi Universiti Teknologi Petronas (UTP), dan diteruskan ke edisi 2025.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Proton, Dr Kasuma Satria berkata, cabaran itu memberi peluang kepada Proton mengenal pasti bakat muda yang berminat dalam industri automotif.
“Cabaran ini memberi peluang kepada Proton untuk mengenal pasti bakat muda yang berminat dalam industri automotif. Tahun ini, 30 tawaran bersyarat di bawah program PYT telah diberikan kepada bakat muda, sekali gus mengukuhkan peranan program ini kepada Proton,” katanya.
Beliau menambah, setakat ini program PYT telah menerima kira-kira 400 graduan muda ke dalam organisasi Proton melalui penempatan kerja bergilir, bimbingan, penilaian prestasi dan penglibatan dalam projek sebenar, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk membina kerjaya dalam industri automotif.
Usaha berterusan itu, menurut Proton, turut menyumbang kepada pengiktirafan syarikat apabila dianugerahkan Anugerah Menteri Sumber Manusia bagi kategori Majikan Besar pada Majlis Anugerah HRD 2025 yang berlangsung pada 26 November 2025.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama Proton dengan universiti dan pelajar, malah meningkatkan imej Proton sebagai majikan pilihan bakat muda, di samping membina saluran bakat bagi menyokong sasaran korporat jangka panjang,” kata Proton. - DagangNews.com

