SBS Nexus sasar kumpul RM43 juta menerusi IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
24 Dec 2025 • 11:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SBS Nexus sasar kumpul RM43 juta menerusi IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia image is not available haziq24/12/2025 - 11:03 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Dis – Syarikat penjenamaan dan pemasaran, SBS Nexus Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM43 juta menerusi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Menurut prospektus yang dilancarkan, tawaran awam permulaan (IPO) itu ditetapkan pada harga 25 sen sesaham, dengan kumpulan dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM122.5 juta selepas penyenaraian.

 

Permohonan bagi IPO berkenaan akan ditutup pada 7 Jan manakala penyenaraian di Pasaran ACE dijadualkan pada 20 Jan.

 

Daripada jumlah keseluruhan, SBS Nexus akan meraih RM30.6 juta melalui terbitan awam saham baharu. 

 

Hasil IPO itu akan digunakan terutamanya bagi pembinaan ibu pejabat baharu (23.2%) serta pengembangan perniagaan ke pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbahasa Melayu (23.7%), memandangkan kumpulan ketika ini memberi tumpuan kepada pasaran berbahasa Mandarin.

 

Selain itu, 19.6% daripada hasil terbitan akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman, manakala baki selebihnya diperuntukkan bagi aktiviti pemasaran dan promosi, modal kerja serta perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SBS Nexus, Wong Chun Mun berkata, rangkaian perkhidmatan yang ditawarkan kumpulan itu sejajar dengan trend pengguna semasa dan perubahan permintaan pasaran.

 

“Pelbagai perkhidmatan yang kami sediakan, selari dengan trend pengguna dan keperluan pasaran yang sentiasa berubah, dijangka menyokong pertumbuhan berterusan kumpulan SBS Nexus,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran prospektus.

 

SBS Nexus kini mempunyai enam anak syarikat milik penuh dan terlibat terutamanya dalam perkhidmatan pemasaran dan penjenamaan termasuk penghasilan kandungan serta pengiklanan papan iklan digital.

 

Di bawah terbitan awam sebanyak 122.5 juta saham, sebanyak 24.5 juta saham baharu diperuntukkan kepada orang awam Malaysia manakala 17.15 juta saham baharu disediakan untuk orang yang layak.

 

Sebanyak 61.25 juta saham baharu akan ditempatkan kepada pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian manakala 19.6 juta saham baharu lagi diperuntukkan kepada pelabur terpilih, juga menerusi penempatan persendirian.

 

Selain itu, tawaran jualan berasingan melibatkan 49 juta saham sedia ada bernilai RM12.25 juta, mewakili pegangan 10%, akan memberi manfaat kepada ketua pegawai operasi Warren Cheng, ketua digital Lai Kian Chuan dan ketua pegawai perniagaan Lim Cheng Yong.

 

Selepas penyenaraian, Wong kekal sebagai pemegang saham terbesar dengan pegangan 30%, berbanding 40% sebelum IPO manakala pengarah eksekutif Elaine Piah Yee Ling menjadi pemegang saham kedua terbesar dengan 12%, susut daripada 16%.

 

M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard