PRU-15: Kedudukan Zuraida Dalam Bahaya, Pengundi Berang Sikap Lompat Parti 

Politics
27 Oct 2022 • 7:05 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Zuraida Kamaruddin - Gambar fail

AMPANG - Kedudukan penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dilihat berada dalam keadaan bahaya, susulan tindakannya yang melompat parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Walaupun beliau banyak menabur jasa, keputusan meninggalkan PKR dianggap ‘sumbang’ oleh pengundi kawasan berkenaan, apatah lagi penglibatannya dalam politik selama ini adalah hasil ‘didikan’ parti tersebut.

image is not available
Pengundi kawasan Parlimen Ampang akan menentukan nasib Zuraida selepas ini, sama ada beliau akan kekal atau disingkirkan terutama selepas Zuraida melompat parti dan kini menjadi presiden PBM.

Tinjauan Getaran di sekitar Ampang mendapati, majoriti pengundi yang ditemui menzahirkan rasa kecewa apabila Zuraida sanggup berpaling tadah dan mengkhianati Pakatan Harapan (PH).

Pesara kerajaan, Hairul Mat Nasir, 65 berkata, meskipun laluan Zuraida diramalkan sukar kali ini selepas dua kali melompat parti, faktor itu tidak boleh dijadikan penentu susulan kedatangan pengundi muda.

Katanya, golongan muda khususnya pengundi berusia 18 tahun cenderung membuat pilihan berdasarkan kriteria bersifat individualistik.

image is not available
Hairul Mat Nasir

“Generasi baharu sukar dijangka kerana mereka membuat penilaian berdasarkan pengamatan ke atas seseorang individu.

“Dalam kes Zuraida, beliau akan dinilai sebagai orang perseorangan, bukan calon kepada parti diwakili,” katanya ketika ditemui.

Hairul yang telah 53 tahun menetap di Ampang memberitahu, tidak mustahil Zuraida tewas jika berdepan saingan heavyweight daripada parti lain.

“Walaupun beliau banyak berjasa dengan Ampang, tetapi langkah melompat parti yang dilakukan menimbulkan kemarahan orang di sini.

“Jika Zuraida betul-betul mahu menang dan mengekalkan kerusi di Ampang, beliau perlu terangkan kepada seluruh warga Ampang yang pernah mengundi, kenapa melompat dan menubuhkan parti baharu,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Raju berkata, tidak dinafikan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu banyak berjasa kepada penduduk di bawah Parlimen Ampang, namun itu menjamin beliau bakal beroleh laluan mudah.

image is not available
Raju

“Memang beliau banyak beri bantuan, terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi peluangnya (untuk menang) tetap 50-50.

“Ramai yang tidak suka atas sebab dia lompat parti, tetapi saya perlu lihat juga siapa betul-betul jaga kawasan Ampang ini,” jelasnya.

image is not available
Penduduk kini mempunyai pandangan yang berbeza terhadap Zuraida, dengan ada yang menerimanya dan tidak kurang pula yang menganggap beliau sebagai mengkhianati PH.

Petugas sektor swasta dikenali sebagai Nasir pula berkata, Zuraida berjaya membawa pelbagai impak positif buat penduduk di Parlimen Ampang.

“Memang banyak kebaikan dibuat, termasuk ke atas premis sukan seperti padang futsal dan badminton yang telah dbangunkan serta dinaik taraf dengan baik sekali.

“Tapi jika pihak lawan menghantar calon handalan mereka, sudah pasti kedudukan Zuraida akan goyang. Inilah masalahnya (apabila) melompat parti. Saya tak pasti beliau mampu kekal (di Ampang) atau tidak,” katanya.

image is not available
Zuraida memenangi kerusi Parlimen Ampang dengan majoriti besar iaitu 54,307 pada PRU-14.

Sementara itu, seorang tukang kasut yang enggan dikenali pula yakin Zuraida mampu mengekalkan penguasaan di Ampang berdasarkan pencapaian beliau semasa menyandang portfolio Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

“Insya Allah, jika lihat cara beliau bekerja, beliau masih boleh ‘pegang’ Ampang,” kata pengundi di kawasan Kampung Datuk Keramat itu. 

Zuraida memenangi kerusi Parlimen Ampang dengan majoriti besar iaitu 54,307 pada PRU-14.

Bekas Ketua Wanita PH itu mengekalkan rekod tanpa kalah sejak mula menduduki kerusi parlimen berkenaan pada 2008. - Getaran, 27 Oktober 2022