PRU15: Shahril Hamdan Letak Jawatan, Gesa Zahid Hamidi Undur Secara Terhormat

Politics
20 Nov 2022 • 2:13 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan Barisan Nasional hanya berjaya memenangi 30 kerusi. Ekoran keputusan ini, tanda pagar #ZahidHamidiLetakJawatan telah sohor di media sosial sebagai tanda protes penyokong parti itu kepada Zahid Hamidi.

Terbaharu, Zahid Hamidi sekali lagi diminta meletakkan jawatan apabila Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan telah menggesa Presiden UMNO itu, untuk berundur secara terhormat bagi mengambil tanggungjawab ke atas kekalahan teruk BN pada PRU kali ini.

image is not available

Selain itu, Shahril turut mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ketua Penerangan UMNO bagi mengambil tanggungjawab ke atas kekalahan BN yang hilang banyak kerusi.

“Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) iaitu tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu (Presiden UMNO dan Pengerusi BN) perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini dengan berundur secara terhormat.

“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini”, jelas Shahril dalam satu kenyataan.

Menerusi kenyataan yang sama, Shahril berpendapat keputusan besar seperti ini perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan bukannya mana-mana individu mahupun kelompok sahaja.

Shahril turut menyatakan penghargaan ke atas peluang yang telah diberikan oleh UMNO dan tidak akan melupakannya. Namun, dia perlu berbuat sedemikian untuk perkara yang lebih besar. Bagaimanapun, Shahril berkata dia akan kekal setia bersama UMNO dan ini bukanlah pengakhiran buat parti itu.

Adakah kita bakal lihat kepimpinan baharu dalam UMNO?

Kredit: Sinar Harian

image is not available

Sumber: Astro Awani

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.