PSC baharu Blok A-18 pacu potensi sumber gas Malaysia-Thailand

Business & Finance
14 Sep 2026 • 4:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PSC baharu Blok A-18 pacu potensi sumber gas Malaysia-Thailand

PETALING JAYA: PC JDA Limited (PC JDA), anak syarikat milik penuh Petronas Carigali Sdn. Bhd. (Petronas Carigali) menerima kelulusan kerajaan Malaysia dan Thailand bagi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSC) baharu untuk Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

Kelulusan tersebut diperoleh bersama PTTEP JDX Thailand Ltd. Co dan PTTEP JDX Thailand (JDA) Limited (secara kolektif dikenali sebagai PTTEP JDX).

Pihak terbabit turut menandatangani perjanjian jual beli gas (GSA) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan PTT Public Company Limited bagi menyokong kesinambungan bekalan gas asli dari blok berkenaan kepada kedua-dua negara.

Majlis pertukaran dokumen perjanjian yang ditandatangani pada 14 September 2026 menandakan kemuncak kerjasama meluas antara Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA), PC JDA dan PTTEP JDX dalam mewujudkan rangka kerja kontrak baharu yang menghubungkan kesinambungan pembangunan Blok A-18.

Perjanjian tersebut dilaksanakan selepas tamat tempoh PSC sedia ada pada 20 April 2029, selain merangkumi kawasan penerokaan bersebelahan yang mempunyai potensi sumber tambahan di bawah PSC baharu itu.

Dengan tempoh selama 35 tahun bermula 1 Januari 2026, PSC baharu bagi Blok A-18-01 merangkumi kawasan Blok A-18 sedia ada serta kawasan baharu tambahan, sekali gus menyediakan platform bersepadu untuk mengekalkan pengeluaran, membuka potensi sumber baharu dan mengoptimumkan pembangunan jangka panjang blok berkenaan.

Pengarah PC JDA, Ainoor Abizzurin  Abdullah berkata, kelulusan PSC baharu itu membuka fasa seterusnya pembangunan Blok A-18-01, selain mencerminkan komitmen berterusan dan kerjasama kukuh antara Malaysia dan Thailand.

“Sebagai sumber utama gas asli dan kondensat bagi kedua-dua negara, pencapaian ini mengukuhkan komitmen bersama untuk memaksimumkan nilai melalui peningkatan monetisasi sumber serta sinergi operasi,” katanya.

MTJDA meliputi kawasan kira-kira 7,250 kilometer persegi dan terdiri daripada Blok A-18-01 serta B-17-01, yang mempunyai kapasiti pengeluaran gas asli gabungan kira-kira 700 juta kaki padu piawai sehari (mmscfd), dengan pengagihan sama rata kepada Malaysia dan Thailand.

Blok A-18-01 merangkumi medan gas Cakerawala, Bumi, Suriya, Bulan, South Bulan, Senja, East Bumi, Samudra dan Wira, termasuk kawasan terbuka.

Sementara itu, Blok B-17-01 merangkumi medan gas Muda, Tapi, Tanjung, Amarit, Jengka, Melati dan Andalas.

PSC baharu itu turut mengukuhkan komitmen Petronas Carigali untuk melabur dalam aset strategik serta meneruskan pertumbuhan mampan bagi menyokong keselamatan tenaga serantau. – UTUSAN

The post PSC baharu Blok A-18 pacu potensi sumber gas Malaysia-Thailand appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved