PTP langgan 16 GWh tenaga hijau sebulan bersama TNB

LocalEnvironment
19 Oct 2026 • 5:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PTP langgan 16 GWh tenaga hijau sebulan bersama TNB

PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) melanggan 16 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik hijau menerusi kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dalam operasi di pelabuhan tersebut.

PTP yang juga anggota Kumpulan MMC dalam kenyataan memaklumkan, menerusi kerjasama berkenaan, PTP melanggan 16,000 blok GET, bersamaan 16 GWh tenaga hijau yang diperakui setiap bulan bagi tempoh Mei 2026 hingga Disember 2027.

Langganan itu menjadikan PTP pelanggan program Tarif Elektrik Hijau (GET) terbesar dalam kalangan pelabuhan di Malaysia setakat ini, sekali gus membolehkannya beralih kepada penggunaan 100 peratus tenaga elektrik boleh baharu.

“Program GET membolehkan pelanggan TNB menggunakan tenaga boleh baharu yang diperakui untuk premis mereka.

“Pelanggan perlu membayar tarif asas biasa berserta caj premium hijau mengikut kadar berperingkat dan akan menerima Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (mREC) setiap tahun,” menurut PTP hari ini.

Menerusi program GET, PTP akan menerima mREC sepadan dengan langganan tenaga hijau berkenaan bagi menyokong strategi kelestariannya yang menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030, sebelum mencapai sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan sasaran negara.

“Penggunaan GET mengukuhkan kedudukan PTP sebagai hab pemindahan kapal antarabangsa yang mampan, selain menetapkan penanda aras baharu bagi penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor maritim dan logistik Malaysia.

“Kerjasama itu turut menjadi model panduan kepada pengendali infrastruktur lain yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar, dengan menunjukkan bagaimana perniagaan boleh memanfaatkan tenaga boleh baharu yang diperakui melalui grid elektrik sedia ada bagi mempercepatkan usaha kelestarian masing-masing,” katanya.

Sijil langganan GET secara simbolik disampaikan oleh Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir. Kamal Arifin A. Rahman kepada Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman di Kuala Lumpur hari ini. Ia disaksikan oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Ts. Shamsul Ahmad.

Dalam pada itu, Mark berkata, langganan berkenaan bukan sekadar perjanjian kontrak, sebaliknya merupakan pernyataan jelas mengenai hasrat PTP untuk menerajui industri maritim ke arah masa depan yang lebih mampan.

“Dengan mengintegrasikan GET dalam operasi kami, ia mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu dan mengambil langkah tegas ke arah mencapai sasaran pengurangan karbon menjelang 2030.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa kecemerlangan operasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bukanlah dua perkara yang saling bercanggah, malah kedua-duanya menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang dan daya tahan PTP dalam landskap global yang sentiasa berubah,” katanya.

Katanya, penggunaan program GET membolehkan PTP menyokong secara langsung pertumbuhan penjanaan tenaga boleh baharu di Malaysia, sekali gus memastikan operasi terminalnya yang berskala besar dikuasakan oleh sumber tenaga yang lebih bersih dan mesra alam.

Sementara itu, Shamsul berkata, TNB kekal komited untuk membolehkan lebih banyak perniagaan menyertai peralihan Malaysia ke arah sistem tenaga lebih bersih dan mampan dengan menyediakan akses kepada penyelesaian tenaga boleh baharu yang menyokong matlamat alam sekitar serta daya saing perniagaan untuk jangka panjang.

“Kerjasama ini menjadi pemangkin penting kepada seluruh sektor maritim dan logistik untuk menerima peralihan tenaga, khususnya dalam menyokong usaha Malaysia mempercepatkan pencapaian sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Komitmen ini menunjukkan bagaimana perniagaan di Malaysia boleh memainkan peranan bermakna dalam memajukan peralihan tenaga negara, di samping memperkukuh daya saing sektor ekonomi utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post PTP langgan 16 GWh tenaga hijau sebulan bersama TNB appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved