PTP langgan 16 GWj tenaga hijau sebulan daripada TNB

LocalEnvironment
19 Oct 2026 • 6:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PTP langgan 16 GWj tenaga hijau sebulan daripada TNB

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalinkan kerjasama strategik dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di bawah program Tarif Elektrik Hijau (GET).

Menerusi kerjasama berkenaan, PTP melanggan 16,000 blok GET, bersamaan 16 GWj tenaga hijau yang diperakui setiap bulan bagi tempoh Mei 2026 hingga Disember 2027.

Ia menjadikan PTP pelanggan GET terbesar dalam kalangan pelabuhan di Malaysia setakat ini.

Program GET membolehkan pelanggan TNB membekalkan premis mereka dengan tenaga boleh baharu yang diperakui. Pelanggan membayar tarif asas biasa bersama premium hijau berperingkat dan menerima Malaysia Renewable Energy Certificate (mREC) setiap tahun.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Shamsul Ahmad berkata, TNB kekal komited untuk membolehkan lebih banyak perniagaan menyertai peralihan Malaysia ke arah sistem tenaga yang lebih bersih menerusi penyediaan akses kepada penyelesaian tenaga boleh baharu yang menyokong matlamat alam sekitar serta daya saing perniagaan untuk jangka panjang.

“Kerjasama ini menjadi pemangkin penting kepada seluruh sektor maritim dan logistik ke arah peralihan tenaga, khususnya dalam menyokong usaha Malaysia mempercepat pencapaian sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, langganan tersebut mencerminkan tekad PTP untuk menerajui sektor maritim ke arah masa depan yang lebih mampan.

“Dengan mengintegrasikan GET dalam operasi kami, PTP mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu dan mengambil langkah penting ke arah mencapai sasaran pengurangan karbon menjelang 2030.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa kecemerlangan operasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bukanlah dua perkara yang bertentangan, sebaliknya merupakan pemacu utama pertumbuhan dan daya tahan jangka panjang PTP dalam persekitaran global yang sentiasa berubah,” katanya.

 

The post PTP langgan 16 GWj tenaga hijau sebulan daripada TNB appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved