
PETALING JAYA: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman ditawarkan bayaran serendah 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau RM1,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Tawaran itu diberikan menerusi program Bulan Mesra Peminjam (BMP) PTPTN 2026 yang berlangsung dari 1 November hingga 15 Disember ini bagi membolehkan peminjam menstruktur semula pinjaman, menggabungkan pinjaman atau membuat pertukaran Ujrah.
PTPTN berkata, inisiatif itu bertujuan membantu peminjam menguruskan bayaran balik pinjaman pendidikan dengan lebih mudah dan teratur mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Katanya, peminjam khususnya yang mempunyai tunggakan digalakkan tampil berunding dengan PTPTN bagi mengenal pasti kaedah bayaran balik yang bersesuaian.
“Melalui program ini, peminjam khususnya yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman digalakkan untuk tampil berunding dengan PTPTN bagi mengenal pasti kaedah bayaran balik yang bersesuaian.
“Antara kemudahan yang ditawarkan ialah rundingan dan khidmat nasihat kewangan di kaunter Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan sempena Kempen Lestari Pendidikan melalui penstrukturan semula pinjaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, PTPTN berkata, waktu operasi kaunter di pejabat negeri dan cawangan seluruh negara akan dilanjutkan mulai 1 hingga 15 Disember depan bagi memudahkan peminjam mendapatkan perkhidmatan.
“Kaunter di kebanyakan negeri akan beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat, manakala Terengganu, Kedah dan Kelantan beroperasi pada waktu sama dari Ahad hingga Khamis.
“Selain itu, pejabat negeri dan cawangan terpilih turut dibuka pada 5 dan 12 Disember, iaitu hari Sabtu, dari pukul 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.
PTPTN berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan menerusi inisiatif #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam mendapatkan maklumat serta khidmat rundingan.
Katanya, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000, menggunakan perkhidmatan Live Chat di portal rasmi atau mengemukakan pertanyaan melalui sistem e-Aduan PTPTN.
“PTPTN menyeru semua peminjam agar memanfaatkan peluang sepanjang BMP 2026 untuk mendapatkan khidmat rundingan serta menyusun semula komitmen bayaran balik mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
“Komitmen membayar balik pinjaman bukan sekadar melunaskan tanggungjawab, malah merupakan tanggungjawab bermakna dalam memastikan kesinambungan pembiayaan pendidikan tinggi demi manfaat generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN
The post PTPTN tawar bayaran serendah 20 peratus untuk struktur semula pinjaman appeared first on Utusan Malaysia.






