PTPTN tawar penstrukturan semula pinjaman ikut kemampuan kewangan

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 4:45 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PTPTN tawar penstrukturan semula pinjaman ikut kemampuan kewangan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan khidmat rundingan serta kemudahan penstrukturan semula pinjaman kepada peminjam menerusi penganjuran Bulan Mesra Peminjam (BMP) PTPTN 2026.

Dalam kenyataan hari ini, PTPTN memaklumkan inisiatif yang berlangsung mulai 1 November hingga 15 Disember itu bertujuan memberi peluang kepada peminjam mendapatkan khidmat nasihat serta menyusun komitmen bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Menerusi program itu, peminjam khususnya mereka yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman digalakkan tampil berunding dengan PTPTN bersempena dengan Kempen Lestari Pendidikan bagi mengenal pasti kaedah bayaran balik yang bersesuaian.

“PTPTN turut menawarkan bayaran serendah 20 peratus atau RM1,000 daripada keseluruhan tunggakan, mengikut jumlah yang lebih tinggi bagi tujuan penstrukturan semula pinjaman atau penggabungan pinjaman dan pertukaran Ujrah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bermula 1 hingga 15 Disember ini, waktu operasi kaunter pejabat PTPTN negeri dan cawangan turut dilanjutkan dari 8.30 pagi hingga 6 petang melibatkan kaunter di semua negeri kecuali Terengganu, Kedah, Kelantan dan Sabah yang beroperasi dari Ahad hingga Khamis.

Selain itu, kaunter pejabat PTPTN negeri dan cawangan terpilih turut dibuka pada 5 dan 12 Disember dari 9 pagi hingga 5 petang.

PTPTN turut melaksanakan inisiatif #PTPTNSediaBantu dengan menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan bagi memudahkan peminjam berurusan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

“PTPTN menyeru semua peminjam agar memanfaatkan peluang sepanjang BMP 2026.

“Komitmen membayar balik pinjaman bukan sekadar melunaskan tanggungjawab, malah merupakan tanggungjawab bermakna dalam memastikan kesinambungan pembiayaan pendidikan tinggi demi manfaat generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved