Velesto dijangka raih pendapatan lebih kukuh, sasar pulangan dividen melebihi 11% - Maybank IB

28/07/2025 - 09:37
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 28 Julai – Velesto Energy Bhd berada di landasan untuk mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh bagi separuh kedua tahun ini setelah lima daripada enam pelantar penggerudian jenis jack-up miliknya telah memperoleh kontrak baharu, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu telah meningkatkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 3 peratus, mengambil kira kadar penggunaan lebih tinggi iaitu 72 peratus, berikutan pelantar Naga 5 memulakan operasi sebulan lebih awal daripada jadual asal.
“Meskipun keputusan kewangan bagi suku kedua 2025 dijangka lebih perlahan disebabkan penyelenggaraan berjadual dua pelantar dan penurunan sederhana dalam kadar sewaan harian purata (DCR), Maybank IB berpandangan pendapatan akan melonjak semula pada separuh kedua tahun ini, dengan jangkaan kadar penggunaan mencecah 83 peratus bagi suku ketiga dan keempat.
“Meski pendapatan dijangka merosot secara tahunan selepas kemuncak dicapai pada FY24, Velesto dijangka kekal mencatat keuntungan selesa. Kadar penggunaan tinggi walaupun DCR lebih rendah memastikan aliran tunai operasi kekal kukuh,” jelas Maybank IB dalam nota kajiannya.
Firma itu berkata, hasil daripada prestasi operasi yang stabil, kedudukan tunai bersih Velesto melonjak 60 peratus suku ke suku kepada RM104.7 juta setakat akhir Mac 2025, bersamaan kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan permodalan pasaran semasa syarikat.
Melihat kepada pemulihan kewangan ini, Maybank IB meningkatkan unjuran kadar pembayaran dividen kepada 100 peratus, daripada 70 peratus sebelum ini, yang membawa kepada dividen sesaham sebanyak 2.1 sen – mewakili hasil dividen menarik melebihi 11 peratus.
Firma itu turut menjelaskan struktur kos Velesto kekal kompetitif kerana sekitar 70 peratus daripada perbelanjaan operasi dan modalnya adalah dalam mata wang dolar AS yang bertindak sebagai lindung nilai semula jadi terhadap turun naik kadar tukaran asing.
Dengan momentum operasi yang kukuh, prospek pulangan tunai yang menarik serta kedudukan tunai yang sihat, Maybank IB mengekalkan saranan “Beli” ke atas saham Velesto, dengan harga sasaran RM0.18 sesaham. - DagangNews.com
standard
