PublicInvest menilai harga saham Camaroe yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 18 sen

11/09/2025 - 16:05
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Sept - Public Investment Bank (PublicInvest) memberikan nilai wajar kepada syarikat penternakan dan pemprosesan udang harimau, Camaroe Berhad pada 18 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan itu adalah 28.5% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 14 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2 Oktober 2025.
"Kami mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 10x berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY26.
"Kami menjangkakan pendapatan kumpulan akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tiga tahun sebanyak 8%, didorong peningkatan permintaan luar negara, khususnya dari China disokong penubuhan jabatan bioteknologi dalaman yang akhirnya akan meningkatkan operasi penternakan udang, kesihatan dan hasil," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merancang membina kemudahan pemprosesan udang baharu di Taman Industri Bandar Bukit Raja 3, bagi menyokong pelan pengembangannya, sekali gus meningkatkan kapasiti pemprosesan tahunan daripada 684 tan kepada 1,539 tan melalui pembelian peti sejuk beku tambahan.
Katanya, pembinaan kemudahan baharu di Bukit Raja dijangka bermula pada 2026 dan siap pada 2028, dengan operasi dijangka bermula pada suku pertama tahun kewangan 2029 (1QFY29) selepas pemindahan peralatan daripada fasiliti pemprosesan sedia ada di Kapar.
"Fasiliti tersebut juga akan menggunakan sistem storan dan pengambilan automatik serta memasang panel solar jimat tenaga di bumbung bagi meningkatkan kecekapan pengurusan inventori, mengurangkan kos elektrik dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar," katanya.
PublicInvest berkata, Camaroe turut merancang penubuhan jabatan bioteknologi dalaman di fasiliti pemprosesan Kapar menjelang 3QFY25 yang dijangka dipindahkan ke kemudahan baharu di Bukit Raja pada 1QFY29.
Katanya, ujian makmal dan aktiviti penyelidikan & pembangunan (R&D) akan dijalankan untuk menambah baik operasi penternakan udang, dengan memberi tumpuan kepada kawalan kualiti serta pembangunan formulasi probiotik dan suplemen nutrisi bagi meningkatkan kesihatan serta hasil udang.
"Sekiranya berjaya, formulasi tersebut berpotensi dikomersialkan, sekali gus mewujudkan aliran pendapatan baharu," katanya.
IPO Camaroe merangkumi terbitan awam sebanyak 99 juta saham baharu di mana 24.75 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 12.38 juta saham untuk individu yang layak manakala 61.88 juta saham ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan melalui penempatan persendirian.
M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin serta ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com
standard


