Mercury Securities mulakan liputan ke atas SumiSaujana dengan saranan "pegang", TP 14 sen sesaham

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2025 • 12:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mercury Securities mulakan liputan ke atas SumiSaujana dengan saranan "pegang", TP 14 sen sesaham

image is not available

11/09/2025 - 12:35

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Mercury Securities memulakan liputan ke atas SumiSaujana Group Berhad dengan saranan "pegang" pada harga sasaran (TP) 14 sen sesaham, mewakili diskaun 50% berbanding rakan setaranya dan mencerminkan modal pasaran kumpulan yang lebih kecil.

Katanya, ia juga mencerminkan kebergantungan tinggi terhadap sejumlah pelanggan utama dalam sektor minyak dan gas (O&G) serta pendedahan kepada turun naik tukaran mata wang asing.

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun berdepan cabaran, kumpulan itu memiliki model perniagaan khusus yang menyokong industri O&G selain memiliki margin bersih melebihi purata pesaing industri.

"Prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat dilihat positif, dipacu strategi pengembangan pasaran serta pengembangan kapasiti," katanya dalam satu nota kajian.

Mercury Securities berkata, SumiSaujana merekodkan pertumbuhan hasil hampir dua kali ganda antara FY21 hingga FY23 sebelum susut 20.2% pada FY24 kesan daripada penurunan aktiviti penggerudian pelanggan.

Katanya, dengan jangkaan pertambahan bekalan OPEC+ serta permintaan minyak global naik 1.3% pada 2025, kumpulan itu dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan pengeluaran minyak pelanggan.

Firma penyelidikan itu berkata, margin keuntungan selepas cukai SumiSaujana sebanyak 10.4% (FY24) mengatasi purata industri lima tahun (6.5%), hasil kecekapan operasi, kelebihan harga, serta tumpuan pada produk bernilai tinggi.

"SumiSaujana sedang meluaskan pasaran ke Asia Barat dan Amerika Utara, dibiayai hasil tawaran awam permulaan (IPO)," katanya.

Kumpulan itu bagaimanapun berdepan tiga risiko utama termasuk kebergantungan tinggi kepada pelanggan utama, tukaran mata wang asing yang tidak stabil serta turun naik kos bahan mentah. - DagangNews.com

standard